This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli rumah terbengkalai serik dibebani pinjaman bank

10/05/2004 Berita Harian Kamaliza Kamaruddin

SEREMBAN: Pembeli lebih 400 unit rumah kos rendah dan kos sederhana Fasa 1 dan Fasa 2 Taman Pelangi, Sikamat, menghadapi masalah kerana projek itu masih terbengkalai sejak 1992.

Kebanyakan projek yang dimajukan sebuah syarikat pemaju tempatan, Mow Seng Housing and Company itu, sudah hampir siap 80 peratus.

Bagaimanapun, 174 unit rumah Fasa 3 sudah diduduki dengan Sijil Layak Menduduki (CF) sementara dan sebahagian pembeli mengubah suai rumah mereka untuk tinggal lebih selesa .

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Pelangi, Mohd Ridza Jabal, berkata pihaknya berharap rumah terbengkalai itu disiapkan segera kerana pembeli bosan berdepan kerenah pemaju yang memberi pelbagai alasan ketika ditanya kemajuan projek itu.

"Lokasi rumah kami ini sangat strategik kerana berhampiran bandar dan terletak bersebelahan Kolej Tafe.

"Permintaan untuk menyewa rumah pastinya tinggi kerana faktor lokasinya selain membolehkan pembeli berpindah ke rumah milik mereka," katanya.

Berikutan masalah itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Woo Ah Lek, yang mengadakan lawatan ke taman berkenaan, baru-baru ini, berkata masalah projek rumah terbengkalai ini dijangka dapat dipulihkan berikutan persetujuan awal pemajunya menyerahkan projek itu kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Beliau berkata, SPNB akan meneliti semua dokumen asal milik syarikat pemaju itu sebelum mengambil alih pembinaan rumah terbengkalai itu.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tidak lama lagi.

Kerajaan negeri, katanya, memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat berikutan rundingan kedua-dua belah pihak dilihat berjaya mencari kata sepakat.

"Saya sangat bersimpati dengan nasib pembeli rumah di Taman Pelangi yang terpaksa menanggung beban membayar faedah pinjaman bank dan terpaksa membayar sewa rumah yang mereka duduki.

"Ini adalah sesuatu yang tidak adil, tambahan pula kebanyakan pembelinya adalah pesara kerajaan," katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Mow Seng Housing and Company, Chew Ee Teong, bersama penasihat syarikatnya, Tan Suan Cho; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Mohd Yusop Harmain Shah dan wakil dari SPNB.

Bagaimanapun, Chew berkata, pihaknya mengambil alih pembinaan projek perumahan itu daripada pemilik asal syarikat Mow Seng pada 1994 dan tidak menyangka projek itu bermasalah.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menyiapkan rumah terbengkalai tetapi menemui jalan buntu berikutan pihaknya kekurangan sumber kewangan.

"Pembeli tidak membayar wang mengikut jadual dan lebih malang lagi banyak besi dan peralatan lain milik syarikat dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

"Pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaga peralatan itu juga sudah berhenti kerana tidak tahan diugut pencuri.

"Kami memang mahu SPNB mengambil alih projek pembinaan rumah terbengkalai ini demi kepentingan semua pihak," katanya.
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.