This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kerajaan kaji benar rumah 90 peratus siap baru dijual

Berita Harian 22/5/2004 Oleh Kadir Dikoh dan Misiah Taib


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji kemungkinan hanya membenarkan pemaju perumahan menjual atau mengiklankan jualan selepas projek berkenaan sekurang-kurangnya 90 peratus siap.


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah itu bagi mengelak pemaju dengan menggunakan wang pembeli sedangkan rumah baru hendak dibina.


Perdana Menteri berkata, sepatutnya rumah yang sudah siap dijual dan tindakan pemaju menggunakan wang pembeli untuk memulakan projek adalah tidak betul.


"Kita mahu pemaju perumahan sendiri mempunyai wang secukupnya untuk membina rumah. Jangan mengharapkan untuk jual dulu, dah ada duit, baru bina.


"Jadi kalau tak boleh jual semua (rumah), duit tak cukup dan rumah tidak dapat bina, apa hal pula dengan orang yang sudah membeli?


"Saya berpendapat adalah tidak betul untuk membayar dulu sebelum dapat rumah. Anda hanya membayar apabila sudah dapat rumah," katanya selepas majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2004 Sektor Awam, di sini semalam.


Beliau mengulas kemungkinan kerajaan meminda Akta Pemaju Perumahan 2002 bagi melarang pemaju perumahan menjual rumah terlalu awal iaitu pada peringkat menebus tanah dan hanya dibenar berbuat demikian selepas rumah siap sekurang-kurangnya 90 peratus.


Berikutan tindakan seperti itu, pembeli menanggung kerugian kerana terpaksa membayar ansuran bulanan rumah yang sedang dalam pembinaan, selain sewa.


Lebih memeritkan apabila pemaju menghadapi masalah kewangan sehingga projek terbengkalai menyebabkan kerajaan terpaksa menubuhkan Tabung Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai.
Ditanya berapa cepat kerajaan boleh melaksanakan peraturan baru itu, Abdullah berkata: "Nanti kita fikir apakah perkara yang terbaik sekali untuk dilaksanakan.


Kita akan mencari jalan. Saya sendiri tidak bersetuju, tak boleh begitu."


Beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk sentiasa memastikan rumah yang dijual itu pada harga berpatutan terutama bagi kos rendah dan sederhana.


"Pada masa yang sama, kita berharap rumah itu bermutu. Pada waktu ini dengan pelbagai teknologi yang ada pada kita, saya percaya kita boleh mereka dan membina rumah dengan harga lebih rendah.


"Sudah tentu kita juga mahu supaya kemudahan perumahan itu dapat kita perbaiki mengikut kemampuan yang ada pada kita dari semasa ke semasa," katanya.


Terdahulu ketika berdialog pada majlis itu, Abdullah berkata, kerajaan tidak bercadang mewujudkan dana khas bagi membantu kakitangan awam membeli rumah tanpa faedah.


Katanya, kakitangan awam sudah menikmati faedah pinjaman perumahan yang sudah rendah iaitu cuma empat peratus.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.