400 pembeli
kecewa rumah terbengkalai
BH-TGH 14/05/2004 By Masrina Mohd Yunos
KAJANG: Kira-kira 400 pembeli rumah di Taman Serosa, Jalan Cheras di
sini kecewa kerana rumah idaman yang mereka dibeli sejak 1997 masih
terbengkalai, tambahan hasrat memiliki kediaman sendiri mungkin
hanya tinggal impian berikutan pemajunya, Serosa Resources Sdn Bhd (Serosa)
dipercayai sudah gulung tikar.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan campur tangan menyelesaikan
masalah itu demi kebaikan bersama kerana pembeli sudah membayar wang
pendahuluan antara 10 hingga 20 peratus daripada harga rumah dan
menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju pada 1998.
Projek yang dimulakan sejak 1997 oleh pemaju milik penuh Bumiputera
itu membabitkan pembinaan tiga jenis rumah, iaitu 110 unit
pangsapuri kos rendah 13 tingkat, 240 unit pangsapuri kos sederhana
16 tingkat dan 60 rumah teres dua tingkat kos sederhana yang di bina
di tanah seluas 2.8 hektar.
Tinjauan Berita Harian mendapati projek rumah teres dua tingkat kos
sederhana sudah siap 70 peratus dengan keadaan rumah masih belum
berpagar, pintu dan struktur pembinaan kawasan dalaman dan luar
rumah belum sempurna, manakala 110 unit pangsapuri kos rendah 13
tingkat, 240 unit pangsapuri kos sederhana 16 tingkat belum dibina
pemaju.
Kawasan perumahan itu juga ditumbuhi rumput, manakala jalan masuk ke
situ belum diturap.
Seorang pembeli, Hussin Saimin, 37, berkata beliau sudah membayar
wang pendahuluan hampir RM15,000 pada 25 Ogos 2000 untuk membeli
rumah teres dua tingkat.
“Rumah dijangka siap pada 2002 tetapi sehingga kini proses
pembinaannya hanya siap 70 peratus dan saya perlu membayar pinjaman
bulanan bank sebanyak RM520.
“Ini sudah tentu membebankan kerana bukan saja terpaksa membayar
ansuran bulanan, malah membayar sewa rumah. Walaupun pernah
dimaklumkan kepada bank, pihak terbabit tetap mahu pembeli membayar
ansuran bulanan,” katanya.
Seorang lagi pembeli dari penempatan setinggan Kampung Seri Damai,
Abdul Mulup Ibrahim, 49, berkata beliau membayar wang pendahuluan
RM13,000 secara berperingkat untuk pangsapuri kos rendah.
“Saya bayar wang pendahuluan tiga peringkat seperti diminta pemaju
dan kali terakhir pada 2000. Saya kecewa terhadap sikap pemaju yang
tidak mengambil kira kepentingan pembeli," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata
penduduk menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk mengumpul maklumat
berkaitan pembeli sebelum membawa masalah itu kepada kerajaan bagi
memantau pergerakan hartanah dan perumahan yang pernah dikendalikan
pemaju terbabit.
Beliau yang turut melawat tapak perumahan itu menasihati penduduk
bertindak secara berkumpulan dengan mengumpul semua 400 pembeli
sebelum berbincang dengan syarikat pemegang harta atau membawa
masalah ke peringkat kerajaan negeri.
Pembeli projek perumahan Taman Serosa yang belum memberikan nama
kepada jawatankuasa itu bertindak diminta menghubungi Zuraidah
Othman di talian 019-3635867 atau Hussin Saimin (012-6530807) supaya
tindakan segera dapat diambil untuk mengatasi masalah itu. |