This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rakyat lebih minat beli jenis kos sederhana
19/04/2004 Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengurangkan kuota 30 peratus pembinaan rumah kos rendah bagi setiap projek perumahan, sebaliknya menambah rumah kos sederhana dan sederhana rendah bagi mengelak lambakan rumah kos rendah.

Ini kerana kajian Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Redha) mendapati rakyat termasuk berpendapatan rendah lebih cenderung membeli rumah kos sederhana atau sederhana rendah kerana mutu dan keadaan rumah yang lebih baik, di samping bayaran ansuran bulanan yang tidak banyak berbeza.

Kajian Redha juga mendapati kebanyakan rakyat tidak mahu membeli rumah kos rendah kerana tidak mahu dikaitkan dengan imej miskin.

Presiden Redha, Datuk Eddy Chen Lok Lai, berkata sesetengah projek perumahan kos rendah pula tidak laku bukan kerana rakyat tidak mampu memilikinya, tetapi kerana tiada golongan yang benar-benar miskin di kawasan berkenaan.

"Redha sudah berulang kali mencadangkan kerajaan agar mengurangkan kuota rumah kos rendah kerana orang miskin tidak ramai, tidak sampai 30 peratus pun. Tetapi, kerajaan tetap mengekalkan peratusan ini dan akhirnya berlaku lambakan rumah jenis ini.

"Apa yang penting, tingkatkan kuota rumah kos sederhana atau sederhana rendah. Kepada yang benar-benar miskin, kerajaan seharusnya menjual rumah kos rendah ini secara sewa beli.

"Kerajaan saja yang mampu memberi subsidi begini, bukan swasta," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan akan merangka formula baru mengenai kelayakan membeli rumah kos rendah berdasarkan kepada pendapatan isi rumah dan jumlah keluarga yang ditanggung.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan hanya mereka yang layak dapat memiliki rumah kos rendah.

Beliau berkata, kini golongan berpendapatan kira-kira RM3,000 tidak mampu memiliki rumah, termasuk kos rendah kerana tanggungan isi rumah dan jumlah ahli keluarga yang besar.

Beliau memetik kajian Redha yang mendapati golongan berpendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 tidak memiliki rumah kerana mereka tidak layak membeli rumah kos rendah. Golongan dalam lingkungan pendapatan itu juga tidak mampu membeli rumah kos lain yang harganya lebih tinggi.

Eddy berkata, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian Redha, golongan berpendapatan antara RM1,500 dan RM3,000 tidak mahu memiliki rumah kos rendah sebaliknya memilih rumah kos sederhana atau sederhana rendah di lokasi sesuai.

Beliau berkata, kebanyakan rumah kos rendah ketika ini dibina di kawasan yang tidak sesuai dan jauh daripada kepesatan kegiatan ekonomi.

Berikutan masalah itu, katanya, Redha akan menemui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting selewat-lewatnya minggu depan bagi membincangkan perkara berkenaan, termasuk peranan dimainkan persatuan itu.

Setiausaha Agungnya, Chang Kim Loong, berkata cara itu bukan saja dapat mengatasi masalah banyak rumah kos rendah di Selangor tidak terjual tetapi boleh membantu negara mencapai matlamat satu keluarga satu rumah.

Sambil menyifatkan cadangan kerajaan Selangor menawarkan pemilikan rumah kepada semua golongan tidak masuk akal berikutan lebihan 100,000 rumah murah, Chang berkata, kerajaan juga perlu menetapkan hanya mereka dengan pendapatan isi rumah antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dibenarkan membeli rumah berkenaan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.