Orang bujang boleh beli
rumah murah
Beita Harian 30/04/2004KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan rumah kos rendah kini boleh dibeli oleh
orang bujang yang mempunyai tanggungan, ibu atau penjaga tunggal dan
golongan kurang upaya. Langkah itu yang diputuskan Kabinet kelmarin, bertujuan memastikan
golongan berkenaan turut memiliki rumah sendiri, selain menangani masalah
lambakan rumah kos rendah di seluruh negara.Kabinet juga memutuskan pendapatan pemohon dan isi rumah, bilangan
tanggungan serta bebanan saraan, diambil kira dalam mengagihkan rumah kos
rendah. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, ketika
mengumumkan perkara itu semalam bagaimanapun berkata, langkah itu tidak
mengubah dasar kerajaan dalam isu rumah kos rendah, termasuk syarat
kelayakan pendapatan minimum RM1,500 sebulan ketika ini.
Katanya, satu formula akan digunakan untuk menentukan kelayakan itu
selepas ia dibincang dan dipersetujui Majlis Perumahan Negara (MPN) yang
dijangka bermesyuarat dua minggu lagi. Selepas dipersetujui MPN nanti, semua langkah itu harus dipatuhi
kerajaan negeri selain mengambil langkah memudahkan prosedur permohonan,
mempercepatkan pendaftaran permohonan dan menjadikannya lebih telus.
"Pemohon yang ditolak pendaftaran pada peringkat negeri juga boleh
membuat semakan dan rayuan kepada kementerian menerusi Jabatan Perumahan
Negara. "Kementerian akan menghubungi kerajaan negeri untuk memberi pertimbangan
kepada permohonan itu jika mendapati mereka sebenarnya layak untuk
memiliki rumah kos rendah," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara
itu di pejabatnya, di sini semalam.
Isu lambakan rumah kos rendah dan kelayakan pemohon timbul berikutan
cadangan kerajaan Selangor untuk membuka jualan rumah jenis itu kepada
semua golongan, termasuk yang berpendapatan tinggi.
Perangkaan Pusat Maklumat Hartanah Malaysia (Napic) menunjukkan sebanyak
9,816 unit rumah kos rendah tidak terjual di seluruh negara pada suku
tahun keempat tahun lalu. Napic bagaimanapun mendapati hanya 2,423 unit rumah kos rendah tidak
terjual di Selangor sehingga suku tahun keempat 2003 dan bukan seperti
digembar-gemburkan pihak tertentu. Perangkaan Lembaga Perumahan dan
Hartanah Selangor 2001 hingga 2006 juga menunjukkan hanya 13,752 unit
rumah kos rendah belum dijual.
Ong berkata, anggapan bahawa sejumlah besar rumah kos rendah tidak
terjual dan sebilangan besar golongan berpendapatan rendah tidak
memilikinya adalah tidak tepat. "Perangkaan Napic paling tepat kerana semua kerajaan negeri diwajibkan
memberi maklumat kepadanya. Apa yang berlaku ialah sebilangan rumah kos
rendah tidak terjual di kawasan tertentu kerana ada masalahnya sendiri,
termasuk lokasi yang tidak sesuai dengan pilihan pembeli," katanya.Beliau berkata, kerajaan yakin langkah baru itu dapat membantu
mengurangkan masalah lambakan rumah kos rendah dalam tempoh tiga bulan,
yang dianggap memadai untuk memastikan sama ada dasar sedia ada dapat
menanganinya. "Jika langkah baru ini gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi, kita
akan putuskan tindakan sewajarnya," katanya.
Kabinet juga mengarahkan kerajaan negeri mengadakan ekspo rumah kos
rendah dan hartanah bagi membolehkan pembeli mengetahui, memilih dan
membeli rumah yang mereka perlukan. Ekspo itu juga perlu disertai bank dan institusi kewangan lain serta
panel peguam.
Selain itu, jemaah menteri menetapkan beberapa langkah jangka panjang
bagi memperbaiki pengagihan rumah kos rendah, termasuk mewujudkan skim
`sewa untuk dibeli'. Langkah itu bagaimanapun memerlukan kajian terperinci
kerana ia membabitkan kewangan. Ong berkata, Kabinet juga mahu sistem pendaftaran terbuka (SPT) dikaji
dan diperbaiki selaras kehendak semasa, mudah digunakan dan telus, yang
mana pemohon boleh menyemak status pendaftaran mereka. |