Garis panduan caj selenggara
pangsapuri dikemuka
Utusan Malaysia 25/05/2004
SHAH ALAM 24 Mei - Kerajaan negeri akan mengemukakan satu garis panduan
mengenai caj penyelenggaraan bulanan pangsapuri dan rumah pangsa di negeri
itu supaya kadarnya berpatutan dan tidak boleh dinaikkan dengan sesuka
hati oleh pemaju.Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Datuk Mohd. Mokhtar Ahmad
Dahlan berkata, langkah itu diambil selepas penduduk mengadu mengenai caj
penyelenggaraan yang terlalu tinggi dikenakan oleh pemaju.
"Dengan itu, setiap pemaju mesti mematuhi garis panduan
bagi mengenakan bayaran penyelenggaraan pangsapuri dan rumah pangsa supaya
penduduk tidak terus dibebankan dengan caj yang mahal.
"Bagaimanapun kita mesti sedar bahawa caj
penyelenggaraan bagi pangsapuri yang mempunyai lif sudah tentu lebih
tinggi berbanding projek perumahan pangsapuri yang hanya menggunakan
tangga," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan
tambahan oleh Teng Chang Kim (DAP-Sungai Pinang) pada sidang Dewan
Undangan Negeri Ke-11 di sini hari ini. |