Penduduk minta pemaju serahkan
laporan ujian pemendapan
Berita Harian 16/2/2004
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Persamaan Penduduk Pangsapuri Lembah Maju,
Ampang meminta pemaju, arkitek dan jurutera perunding perumahan berkenaan
menyerah laporan ujian pemendapan seperti dijanjikan kepada Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Dalam surat bertarikh 10 Julai 2003 yang dihantar MPAJ
kepada pihak terbabit, mereka sepatutnya mengemukakan laporan ujian
pemendapan setiap sebulan selama enam bulan bermula agos 2003 sehingga
Januari 2004 kepada pihak berkuasa berkenaan.
Penasihat Khas Ahli Parlimen Seputeh, Khong Chef Seng, berkata sehingga
kini hanya satu laporan sudah dihantar kepada MPAJ dan ini menggusarkan
penduduk mengenai keselamatan kediaman mereka.
"Penduduk bimbang keselamatan mereka terancam berikutan
rumah mereka mengalami keretakan yang teruk," katanya.
Surat berkenaan adalah maklum balas atas keputusan
perjumpaan wakil penduduk Blok D dengan arkitek projek perumahan berkenaan
pada 8 Julai 2003 di mana MPAJ meminta tiga pihak terbabit mengemukakan
laporan bertulis berdasarkan aduan pangsapuri retak di Blok D perumahan
itu.
Mengikut surat itu MPAJ mengkehendaki pihak terbabit
menyerahkan laporan ujian pemendapan yang ditandatangani oleh jurutera
profesional bagi mengesahkan pihak berkenaan bertanggungjawab untuk
menentukan bangunan itu selamat diduduki, sekali gus membolehkan kerja
membaik pulih kerosakan dilakukan berdasar laporan itu.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Lembah Maju, Cheng
Ming Kheong, berkata penduduk sudah tidak sanggup lagi menunggu tindakan
diambil berikutan bangunan itu sudah lama mengalami kerosakan.
"Kami sudah lama bersabar namun pihak bertanggungjawab
seakan bermain tarik tali mengenai keselamatan kami sehingga memaksa kami
mengeluarkan perbelanjaan sendiri menutup keretakan di hampir semua
dinding kediaman kami.
"Janganlah tunggu tragedi seperti Highland Tower
berulang lagi kerana kami hanya meminta pihak bertanggungjawab bersimpati
dengan nasib dan keselamatan kami, lagipun kediaman itu kami beli dengan
wang sendiri," katanya.
Sementara itu, Khong berkata beliau berharap tindakan
segera diambil dengan semua terbabit berbincang bagi mengatasi masalah itu
tanpa menuding jari pada sesiapa.
"Semua pihak termasuk penduduk, pemaju perumahan,
jurutera dan arkitek yang dilantik pemaju serta MPAJ sendiri harus
mengadakan mesyuarat dalam menyelesaikan masalah dengan keselamatan
penduduk diambil kira terlebih dulu tanpa menyalahkan mana-mana pihak,"
katanya. |