Rumah tidak ikut pelan
Harian Metro 24/12/2004 Oleh Suhaila Ismail
SERI ISKANDAR: Lebih 300 pembeli
rumah kos rendah di Desa Seri Iskandar, kecewa apabila rumah idaman mereka
dibina tanpa mengikut pelan asal hingga mengabaikan aspek keselamatan
penghuninya.
Apa yang lebih mengecewakan pembeli ialah rumah yang dibina dengan kos
RM25,000 itu masih belum memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF) sedangkan
kunci rumah sudah diserahkan pada Mei, tahun lalu.
Pembeli, Mohd Jaafar Mohd Aris, 46, mendakwa projek pembinaan rumah kos
rendah itu bermula pada 1997 dan siap dua tahun kemudiannya.
Katanya, mengikut dokumen perjanjian pembelian, projek itu dikendalikan
Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang kemudian melantik sebuah syarikat
kontraktor tapak untuk menjalankan kerja pembinaan.
“Mengikut pelan asalnya, rumah ini sepatutnya mempunyai dua pintu untuk
keluar masuk dan setiap rumah sepatutnya mempunyai ruang tepi.
“Bagaimanapun, pemaju bertindak menutup bahagian pintu dapur itu dan
menyambungkannya dengan unit rumah lain sedangkan kedua-dua pembinaan
bahagian ini tidak dinyatakan dalam pelan asal.
“Kami terpaksa mendiami rumah yang tidak selamat ini selepas menerima
kuncinya, Mei tahun lalu walaupun masih belum mendapat Sijil Layak Menduduki
(CF),” katanya di sini, semalam.
Katanya, pembeli juga mempersoalkan tindakan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT)
kerana melantik pemaju tapak membina projek perumahan yang bernilai jutaan
ringgit itu.
Katanya, pembeli juga tidak berpuas hati apabila kerja pemasangan elektrik
di rumah mereka dilakukan secara sambil lewa tanpa mengira aspek keselamatan
penghuninya.
Pekerja kantin, Fatimah Bibi Talib, 44, mendakwa dia terpaksa menduduki
rumahnya sejak setahun lalu walaupun menyedari rumah yang dibeli itu tidak
mengikut pelan pembinaan asal.
Katanya, ketika ini, rumahnya hanya mempunyai satu pintu yang digunakan
untuk keluar masuk.
“Sebaliknya bahagian dapur itu ditutup dan disambung dengan unit rumah lain
hingga menyebabkan satu pintu dapat digunakan.
“Selain itu, pembinaan bahagian yang rendah dan terbuka menyebabkan rumah
ini senang dimasuki pencuri. Saya sendiri kerugian lebih RM5,000 apabila
rumah saya dimasuki pencuri dua bulan lalu,” katanya.
Ahmad Karsany Mohd Sayati, 35, pula mendakwa, dia sekeluarga bimbang dengan
keselamatan mereka apabila rumah yang didiami tidak memiliki CF.
Sementara itu, penasihat undang-undang kepada pembeli, Iskandar Bakri Yusuf
Al Bakri, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Badan Pencegah
Rasuah (BPR) untuk menyiasat masalah berkenaan secara telus.
Katanya, beliau juga sudah mengemukakan masalah itu kepada Tribunal Tuntutan
Pengguna (TTP) bahagian perumahan bagi memastikan pembeli mendapat pembelaan
sewajarnya. |