This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah terbengkalai lapan tahun
Metro Ahad 12/12/2004 Oleh BAHARIN RAMLY

NIBONG TEBAL: Kira-kira 50 pembeli rumah mengadakan demonstrasi bagi mendesak syarikat pemaju menyiapkan projek perumahan Taman Pekatra Indah di sini yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu.


PEMBELI rumah Taman Pekatra Indah mengadakan demonstrasi di depan pejabat syarikat pemaju di Simpang Empat, Nibong Tebal, kelmarin. – Gambar oleh Baharin Ramly

Pengerusi Jawatankuasa Sementara Persatuan Pembeli Rumah Taman Pekatra Indah, Fazli Razman, berkata demonstrasi diadakan di hadapan pejabat syarikat itu di Simpang Empat, Sungai Bakap, kerana pembeli sudah tidak sanggup lagi menunggu projek perumahan itu selepas terbengkalai selama lapan tahun.

Katanya, dalam tempoh menunggu projek itu disiapkan, lebih 300 pembeli bukan saja terpaksa menyewa rumah tetapi pada waktu sama terpaksa membayar pinjaman perumahan berserta faedahnya di bank.

Beliau berkata, pembeli kini dibebani masalah kewangan yang berat termasuk membayar balik pinjaman bank antara RM500 hingga RM700 sebulan.

"Disebabkan projek rumah teres dan banglo Taman Pekatra Indah terus terbengkalai tanpa harapan dapat disiapkan, kami mengambil keputusan mengadakan demonstrasi bagi mendesak syarikat pemaju menyiapkan projek itu," katanya ketika ditemui, semalam.

Fazli berkata, sepanjang tempoh lapan tahun menunggu projek disiapkan, pelbagai pihak termasuk Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Syed Amerruddin Syed Ahmad ditemui bagi mencari jalan penyelesaian.

"Bagaimanapun sehingga kini projek perumahan yang dimulakan sejak 1996 dan dijangka siap tiga tahun kemudian masih terbengkalai," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh itu enam kontraktor dilantik untuk meneruskan projek berkenaan, namun semuanya gagal disebabkan banyak halangan dihadapi termasuk tidak mendapat kerjasama syarikat pemaju asal.

"Disebabkan kami sudah menunggu begitu lama, kami harap kerajaan negeri dapat mencari jalan membantu kami dengan melantik kontraktor baru bagi meneruskan projek," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.