Pembeli piket atasi rumah terbengkalai
06/12/2004
Utusan Malaysia
GOMBAK 5 Dis. - Kira-kira 20 pembeli apartmen Gombak Perdana Villa
yang terbengkalai sejak empat tahun lalu berpiket secara aman Jumaat
lalu menuntut pihak berkuasa mempercepatkan proses pembinaan semula
kediaman berkenaan.
Tindakan piket itu adalah anjuran jawatankuasa bertindak pembeli
yang sudah tidak tahan lagi dengan kerenah birokrasi yang mereka
dihadapi.
Pengerusi jawatankuasa terbabit, Abdul Rahman Dahlan, 39, berkata,
pihaknya mahu kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan membantu usaha mereka secara bersungguh-sungguh dan serius.
"Keputusan kementerian perlu dibuat secepat mungkin dan mesti
muktiunad kerana sampai bila lagi kami mahu menunggu," ujarnya
kepada. Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Abdul Rahman memberitahu, pihaknya juga mahu
mesyuarat mengenai status perumahan berkenaan dengan kementerian
Selasa ini membuahkan hasil yang positif.
"Projek ini sudah 55 peratus siap dan kini terbengkalai kerana
kesilapan pemaju lama, jadi pemaju baru yang bekerjasama dengan tuan
tanah perlu diberi peluang menghabiskannya.
"Kami sudah tawar hati dan hilang keyakinan kepada pemaju lama dan
jika pemaju baru boleh menyiapkannya ia akan melegakan kami pembeli
yang teraniaya," jelasnya.
Seorang lagi pembeli, Mohd. Rida Muda, 33, pula memberitahu, selain
kementerian, mereka juga mahu Syarikat Perumahan Negara Berhad
(SPNB) memberi kata putus bagi memudahkan proses
pembinaan semula projek perumahan berkenaan.
"Kami tidak mahu lagi ia tertangguh dan terus terbengkalai kerana ia
menyeksa kami kerana terpaksa membayar pinjaman kepada bank dan
dalam masa yang sama membayar sewa," jelasnya.
Gombak Perdana Villa terdiri daripada 70 unit pangsapuri jenis A,
114 unit pangsapuri jenis B, empat unit kedai dan empat unit
penthouse di atas tanah seluas 1. 737 hektar.
Sebelum itu, para pembeli juga mendesak kementerian mengiktiraf
pemaju baru, Projek Pertiwi Sdn. Bhd. yang mahu mengambil alih
projek perumahan terbengkalai itu dengan segera.
Pemaju terbabit akan bekerjasama dengan pemilik tanah bagi tujuan
itu dan sekiranya diluluskan ia tidak membebankan kerana tidak
menggunakan peruntukan kerajaan.
Ia merupakan projek usaha sama di antara pemilik tanah dengan sebuah
syarikat pemaju perumahan untuk membina tiga blok pangsapuri
setinggi sembilan dan 10 tingkat.
Pengurus Projek Pertiwi Prestij Sdn. Bhd. Mohd. Shahripoddin Abd.
Rahman, 47, berkata, 75 peratus pembeli menyokong hasrat pemilik
tanah untuk mengambil alih projek daripada pemaju.
|
|
|