| 
			Pemaju nafi dakwaan penduduk Putra Perdana
            Berita Harian 06/12/2004
 KUALA LUMPUR: 
			Kenshine Corporation Sdn Bhd, pemaju perumahan di Taman Putra 
			Perdana, Puchong, tidak bertanggungjawab terhadap kecacatan di 
			kawasan perumahan berkenaan berikutan tanggungan kecacatan sudah 
			tamat pada 19 Oktober tahun lalu.
 Naib Presidennya, Michael Khor, berkata berdasarkan rekod syarikat, 
			semua aduan kecacatan lalu sudah disempurnakan.
 
 Pada 25 November lalu, Sentral menyiarkan dakwaan penduduk Taman 
			Putra Perdana kelewatan pemaju membaik pulih kerosakan rumah yang 
			siap dibina dalam tempoh jaminan menjadikan pemilik dalam dilema.
 
 Sikap alpa pemaju membuatkan pemilik rumah kecewa melihat banyak 
			kerosakan walaupun belum diduduki.
 
 Pemilik sudah mengenal pasti dan menyenaraikan kerosakan termasuk 
			menyerahkan borang aduan kerosakan kepada pemaju, namun tiada 
			tindakan segera.
 
 Penduduk turut mendakwa pemaju memberi pelbagai alasan seperti tiada 
			kontraktor membaik pulih sehingga melepasi tempoh jaminan rumah 
			berkenaan.
 
 Kerosakan rumah di Jalan PP 9/5 Taman Putra Perdana semakin 
			menjadi-jadi seperti lantai kayu di bahagian atas rumah, dinding 
			ditumbuhi kulat, siling bocor serta keretakan jelas di beberapa 
			penjuru.
 
 Azman Abdul Hamid, 36, berkata, beliau merancang tinggal di rumah 
			barunya bagi menyambut Aidilfitri baru-baru ini, tetapi dibatalkan 
			kerana sikap alpa pemaju.
 
 “Masalah ini bukan perkara baru kerana saya sudah menghantar borang 
			aduan kerosakan pada Mei tahun lalu,” katanya.
 
 Nor Zailie Jamaluddin, 31, pula mendakwa dinding rumahnya berkulat 
			akibat tangki bocor di rumah sebelah.
 
 “Air bertakung sehingga memberi kesan pada dinding dan lantai kayu 
			serta dinding bilik atas rosak teruk,” katanya.
 
 Khor berkata, syarikatnya mengenal pasti kedua-dua pemilik kediaman 
			terbabit mengambil kunci rumah masing-masing pada 23 Mei 2003 dan 30 
			isember 2002.
 
 “Satu pemeriksaan dibuat pada 27 dan 29 November lalu dan hasil 
			siasatan mendapati kediaman Azman tidak didiami, malah bingkai semua 
			tingkap sudah dicuri menyebabkan rumah itu dimasuki air ketika musim 
			hujan.
 
 “Selain itu, lantai kayu di tingkat satu dan dinding di bahagian 
			bawah rumah sudah terkena air. Masalah ini bukan tanggungjawab 
			pemaju,” katanya.
 
 Khor berkata, pihaknya mendapati pemilik rumah bersebelahan Nor 
			Zailie menjalankan kerja pengubahsuaian dan berkemungkinan 
			menyebabkan kebocoran air mengalir ke rumah pengadu.
 |