Kementerian Wilayah temui pemaju, wakil penduduk
setinggan Danau Kota
Utusan Malaysia 13/12/2004
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kementerian Wilayah Persekutuan akan
mengadakan
pertemuan antara syarikat pemaju, FBO Bhd. dengan wakil penduduk
setinggan
Danau Kota bagi membincangkan isu rumah pangsa yang terbengkalai
sejak tujuh
tahun lalu.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique
berkata, pertemuan
itu dijangka akan diadakan minggu depan.
"Pihak Kementerian akan mengenal pasti masalah-masalah yang wujud
sehingga
menyebabkan projek tersebut terbengkalai serta memastikan pembinaan
semula rumah
pangsa itu dapat dijalankan dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Surau
Al-Falah
Danau Kota di sini, hari ini.
Surau tersebut yang menelan kos berjumlah RM200,000 mampu menampung
jemaah
sebanyak 500 orang pada satu-satu masa.
Perumahan untuk penduduk setinggan di Danau Kota itu mengandungi
lima blok rumah
pangsa tertangguh sejak 1997 dan hanya satu blok sahaja berjaya
disiapkan pada tahun
1999.
Menurut Zulhasnan, sehingga hari ini, sebanyak 565 keluarga di
Kampung Pasir Wardieburn
dan Rumah Panjang Danau Kota terpaksa tinggal di kawasan setinggan
yang serba kekurangan
akibat kegagalan pemaju tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Pembangunan Setinggan Kampung
Pasir Wardieburn,
Mohd Liza Kudin berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan
menyelesaikan masalah
tersebut.
"Saya berharap pihak kerajaan akan dapat melaksanakan semua projek
pembangunan
yang sebelum ini terbengkalai demi kebaikan semua penduduk setinggan
di Danau Kota,"
katanya.
Sementara itu, tarikh mesyuarat bagi mencapai penyelesaian masalah
peniaga di Jalan
Masjid India dan Jalan Melayu di sini ekoran penutupan jalan masuk
ke Wisma Yakin dan
operasi penjaja kecil-kecilan akan ditetapkan minggu depan.
Zulhasnan berkata, mesyuarat tersebut akan melibatkan Peniaga Wisma
Yakin, para
penjaja dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Para peniaga Wisma Yakin mahu struktur pembangunan diubahsuai bagi
memudahkan
operasi mereka dan pergerakan pelanggan.
"Kita mahu isu ini selesai secepat mungkin dengan adil dan akan
menetapkan tarikh
mesyuaratnya minggu depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka
Hari Raya
Aidilfitri UMNO Bahagian Bukit Bintang 2004 di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Abdul Azim
Zabidi.
Akhbar hari ini melaporkan penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan,
Tan Sri Mohd.
Isa Samad, berkenaan usaha pihaknya mencari formula terbaik bagi
menyelesaikan masalah
peniaga sedia ada yang mengadu sukar menjalankan perniagaan ekoran
penutupan
jalan dan operasi penjaja kecil-kecilan.
Menurut beliau, perkara tersebut perlu difikirkan dengan mendalam
untuk berlaku adil
kepada kedua-dua pihak dan satu perbincangan akan diadakan dengan
mereka apabila
satu formula penyelesaian ditemui.
Zulhasnan berkata, DBKL akan dilibatkan dalam mesyuarat membuat
keputusan bagi
memudahkan usaha mengubah reka bentuk pembinaan untuk memastikan
penyusunan
lokasi-lokasi perniagaan adalah lebih teratur. |