| Apartmen 
			baru bina runtuh Harian Metro 15/12/2004
 
 KUALA LUMPUR: "Dentuman runtuhan itu amat kuat, menyebabkan saya 
			bersama
			rakan lain berlari keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku,"
			kata Fatami Baharudin, 32, saksi kejadian apartmen runtuh di Taman 
			Desa,
			Desa Sentosa, Batu 3 1/2, Jalan Klang Lama di sini, malam tadi.
 
 Fatami berkata, dia bersama rakan sekerja sedang berehat di rumah
			kongsi berhampiran sebelum lantai konkrit di tingkat empat apartmen 
			yang
			dalam pembinaan itu runtuh.
 Katanya, dia kemudian cuba membantu beberapa pekerja yang terjatuh
			tetapi mengubah fikiran kerana bimbang berlaku runtuhan susulan.
 "Kami tidak berani mengambil risiko sehingga ketibaan anggota
			penyelamat," katanya yang berasal dari Jawa Timur.
 
 Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu, seorang 
			buruh
			binaan warga Indonesia terbunuh manakala dua rakannya parah apabila
			lantai konkrit di tingkat empat apartmen itu runtuh mengakibatkan
			ketiga-tiga mangsa jatuh.
 
 Difahamkan mereka bertiga jatuh ke atas timbunan kayu dan besi
			menyebabkan mangsa cedera parah di seluruh bahagian badan.
 
 Seramai lapan pekerja warga Indonesia menjalankan kerja yang bermula
			kira-kira 5.30 petang sebelum kejadian.
 
 Seorang lagi saksi, Wagio Madina, 32, berkata bunyi runtuhan 
			berkenaan
			amat kuat.
			"Saya sedih apabila mendapati rakan sekerja saya terjatuh ke atas 
			besi
			dan kayu binaan akibat runtuhan lantai apartmen itu," katanya.
 
 Menurutnya, kerja pembinaan di kawasan itu sudah bermula sekitar 
			Julai
			lalu dan tidak menyangka tragedi ngeri menimpa rakannya.
 
 Tinjauan di tempat kejadian mendapati anggota Bomba dan Penyelamat
			dengan dibantu Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) menjalankan kerja 
			mengesan
			jika masih ada mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.
 
 Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Jalan Hang 
			Tuah,
			Ruzain Jaafar, berkata unit anjing pengesan turut dikerahkan ke 
			tempat
			kejadian bagi membantu mencari mangsa.
 "Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 malam, kerja
			menyelamat dijalankan anggota bomba dari Jalan Hang Tuah dan Jalan 
			Klang
			Lama serta dibantu unit pengesan," katanya.
 
 Beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang melakukan kerja 
			pembinaan
			di tingkat empat bangunan itu.
 
 "Punca kejadian masih lagi dalam siasatan," katanya.
 |