31 bosan tunggu geran rumah
Berita Harian 13/12/2004
SEREMBAN: Sudah setahun berlalu, sekumpulan 31 pembeli rumah teres
setingkat di Taman Jaya Lukut, dekat Port Dickson, masih menagih
janji
pemaju taman perumahan itu, Astana Strategi (M) Sdn Bhd untuk
mendapatkan
semula geran hak milik rumah mereka yang dicagarkan kepada bank.
Pembeli rumah itu, kebanyakannya jutawan segera dari Felda Lyndon B
Johnson (LBJ) dekat Labu, mengakui sudah bosan menunggu janji pemaju
yang
diibaratkan bagai menunggu buah tidak gugur.
Pertemuan demi pertemuan dengan Pengarah Astana Strategi, Datuk Wong
Ah
Kow, sejak tahun lalu masih menemui jalan buntu.
Langkah terakhir, pembeli terus merayu kerajaan negeri campur tangan
untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.
Penduduk berharap Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang baru
dilantik menerajui negeri ini pada 25 Mac lalu, dapat membantu
penduduk
mengatasi masalah mereka.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kumpulan Penghuni, Normala Hashim,
berkata pihaknya masih tidak dimaklumkan mengenai sebarang
perkembangan
terbaru, menyebabkan mereka beranggapan semua janji pemaju untuk
menyelesaikan masalah itu hanya janji palsu.
Beliau berkata, pembeli menyifatkan pemaju terbabit sebagai hanya
bermulut manis menaburkan janji tanpa sebarang usaha untuk
mendapatkan
semula geran hak milik rumah mereka.
"Rugilah kami sekiranya rumah itu dilelong walaupun sudah membelinya
secara tunai. Tambahan pula, ini semua bukan salah pembeli,
sebaliknya
kesalahan pemaju yang mengambil kesempatan terhadap pembeli yang
membayar
tunai.
"Kami berharap Menteri Besar dapat membantu menyelesaikan masalah
kami
kerana sudah terlalu lama kami terpaksa memikirkan jalan
penyelesaian
kemelut ini," katanya.
Awal Julai tahun lalu, Berita Harian melaporkan seramai 31 penghuni
Taman Jaya Lukut terkejut apabila Mahkamah Tinggi Seremban
mengisytiharkan
rumah yang mereka beli secara tunai kira-kira tujuh tahun lalu
dilelong.
Kebanyakan pembeli adalah jutawan segera LBJ yang mendapat durian
runtuh
apabila tanah ladang mereka yang ditanam kelapa sawit dan getah
dibeli
Tabung Haji kira-kira tujuh tahun lalu.
Mereka yang membayar antara RM84,000 hingga RM140,000 bagi setiap
unit
rumah itu dimaklumkan perlu membayar tambahan antara RM40,000 hingga
RM50,000 kepada bank.
|
|
|