This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Spesifikasi rumah PPR disediakan setimpal kadar sewa
UtusanMalaysia 4/11/2004

Saudara Pengarang,

SAYA ingin merujuk kepada ruangan Forum Utusan Malaysia, Jumaat 29 Oktober 2004 bertajuk Rumah PPR Terlalu Sempit oleh Warga Prihatin PPR, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas pandangan dan harapan yang dibawa oleh penulis mengenai perkara tersebut.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ingin menjelaskan bahawa rumah program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Besi, Kuala Lumpur adalah salah satu projek yang telah dibina oleh Jabatan Perumahan Negara dan diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk ditadbir urus bagi menempatkan semula terutamanya setinggan dan golongan berpendapatan rendah.

Rumah-rumah yang dibangunkan ini disediakan dengan pelbagai kemudahan asas yang dikira munasabah serta mengikut piawaian dan keperluan perancangan.

Rumah PPR yang disediakan oleh kerajaan ini adalah mengikut standard perumahan kebangsaan bagi peruma­han kos rendah rumah pangsa (CIS 2: 1998) dan juga mematuhi Pelan Tindakan Sosial (Pintas) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ini bermakna dari segi keluasan ruang rumah, bilangan bilik dan lain-lain kemudahan asas adalah mencukupi dan setaraf dengan rumah kos rendah yang dibina oleh pihak swasta mahu pun kuarters yang disediakan oleh kerajaan. Malah dalam perancangan rumah-rumah seperti ini kemudahan persekitaran secara keseluruhan diambil kira.

Spesifikasi pembinaan PPR di Malaysia adalah setanding dengan perumahan awam di negara-negara seperti Hong Kong dan Singapura. Malahan lebih baik daripada perumahan awam di kebanyakan negara lain di dunia. Adalah menjadi hasrat kerajaan kita, menyediakan kemudahan yang terbaik untuk rakyat namun begitu realitinya tiada mana-mana kerajaan pun yang tidak menghadapi sebarang kekangan.

Oleh itu, spesifikasi rumah PPR yang disediakan ini adalah yang terbaik dapat diusahakan dengan mengambilkira faktor kos, peruntukan kewangan, nilai dan keluasan tanah, lokasi projek, aspek sosio budaya, teknologi, politik dan sebagainya. Jabatan Perumahan Negara berpendapat bahawa PPR yang disediakan adalah sangat munasabah dan berpatutan berbanding kadar sewa sebanyak RM124 sebulan di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Dasar kerajaan pada masa ini hanyalah menyewakan rumah PPR tersebut dan tidak menjualnya.

Penduduk yang ingin mempunyai rumah sendiri bolehlah membeli rumah kos rendah ataupun lain-lain jenis rumah daripada pemaju swasta dan mendaftarkan nama di bawah Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT) di DBKL. Dasar sewaan ini adalah membolehkan rumah PPR ini erus disewa pada kadar yang sangat termampu oleh lain­lain golongan berpendapatan rendah yang memerlukan di masa akan datang.

Adalah menjadi harapan supaya penduduk dapat tinggal dengan selesa serta hendaklah bersedia menyesuaikan diri dengan keadaan dan gaya kehidupan di kawasan bandar terutama apabila tinggal di rumah berbilang tingkat yang tinggi seperti ini.

- MEJAR DR. AHMAD SALLUDIN
DALI, Ketua Pengarah, Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.