This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli rumah berang
HM 29/11/2004 Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA LUMPUR: Mesyuarat skim pemiutang bagi menentukan pemaju baru projek perumahan di Bandar Sentul Utama, di sini berlangsung dalam suasana hangat dan penuh emosi apabila segelintir pembeli projek perumahan terbabit berang berikutan tidak diberi peluang bersuara.


Mesyuarat itu bertujuan mendapatkan undi pembeli sama ada bersetuju untuk mempertanggungjawabkan pemaju baru projek perumahan terbabit, Paramount Avenue menyambung projek perumahan terbengkalai sejak 10 tahun lalu yang dikendalikan Sentul Murni Sdn Bhd.

Segelintir pembeli tidak dapat menahan marah apabila pihak pemaju seolah-olah cuba menghasut pembeli supaya bersetuju dengan syarat dan perjanjian baru ditawarkan sedangkan pembeli tidak diberi peluang bersoal jawab dan mengutarakan pendapat.

Mejar Norhidayah Yeoh Abdullah, 44, yang membantah prosedur mesyuarat yang berat sebelah itu disokong sebahagian pembeli yang pada mula hanya bersikap dengar dan lihat.

Keberanian Norhidayah menyuarakan pendapatnya membuka mata pembeli lain untuk bersuara.

“Mereka kata mesyuarat ini diperuntukkan oleh mahkamah antara pemiutang dan pemaju, tetapi mereka tidak memberi peluang kepada kami pembeli yang tertindas oleh masalah pemaju terdahulu untuk bersuara, memberi pendapat atau bertanya soalan, sebaliknya terus menyuruh kami mengundi.

“Ia seolah-olah anda belum habis berkempen tetapi sudah disuruh mengundi sedangkan hak kami untuk bersuara dinafikan,” katanya ketika ditemui di mesyuarat itu di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, semalam.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, Yew Teong Look yang juga wakil rakyat kawasan itu, wakil Paramount Venue Sdn Bhd, James Low, Mohd Zainudin Baharudin serta PengarahErnst & Young, Ng Teck Wah.

Sementara itu, Ganesh Raj, 42, berkata, pembeli menanggung banyak kerugian akibat projek tergendala itu.

“Kami tanggung kerugian seperti membayar hutang pinjaman bank sedangkan rumah yang kami bayar masih tidak boleh diduduki hingga sekarang.

“Kami mahu tawaran lebih munasabah daripada pemaju dan tidak mahu masalah sama berulang. Kami mahu mereka bina dulu dan jual apabila projek ini siap seperti yang disarankan kerajaan,” katanya.

Keputusan mesyuarat bermula 10.30 pagi tidak menyebelahi pemaju baru projek perumahan berkenaan apabila hanya 68 peratus pembeli bersetuju sedangkan mengikut syarat ditetapkan pemaju hendaklah memperoleh undian 75 peratus ke atas bagi membolehkan mereka menyambung pembinaan projek itu tergendala.

Sementara itu, wakil pemaju baru, Mohd Zainudin Badarudin, berkata, pihaknya hanya meminta supaya denda lewat siap (LAD) yang harus dibayar oleh pemaju kepada pembeli dihapuskan kerana jumlahnya terlalu tinggi.

“Kami sebagai pemaju faham masalah dan beban dihadapi pembeli akibat kelewatan pemaju terdahulu, tetapi jumlah denda itu terlalu tinggi,” katanya

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.