| 
  
    | Pembeli terdedah risiko beli rumah belum siap 20/01/2004
										Berita Harian By Hasliza Hassan
 
 ALIRAN industri perumahan di Malaysia dengan konsep ‘beli rumah belum siap’ menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pembeli, 
										terutama apabila projek perumahan itu terbengkalai.
 
 Konsep itu perlu diubah kerana penganiayaan kepada pembeli kerana selain menanggung hutang dengan institusi kewangan, mereka 
										terpaksa membayar sewa rumah yang diduduki sebagai tempat berteduh keluarga.
 
 Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Perumahan, Chang Kim Loong, berkata pemaju di negara ini perlu mengambil konsep ‘bina - baru 
										jual’ kerana pembangunan projek perumahan adalah kerjasama yang tidak boleh dipandang ringan.
 
 Katanya, setakat ini, hanya pembeli terdedah kepada risiko apabila berlaku masalah, sedangkan pemaju boleh lepas tangan walaupun 
										hakikatnya kesilapan berpunca daripada mereka.
 
 Menurutnya, konsep bina dulu baru beli juga akan memastikan pembeli mendapat rumah yang benar-benar mengikut spesifikasi 
										perancangan awal tanpa sebarang kecacatan dari segi struktur bangunan, kemudahan asas dan prasarana persekitaran yang dijanjikan 
										pemaju.
 
 “Untuk membuat perubahan kepada amalan sedia ada mungkin agak sukar, terutama jika pihak pemaju enggan menerima pembaharuan.
 
 “Jadi kita cadangkan pembeli membayar 10 peratus daripada harga rumah dan selebihnya selepas rumah siap,” katanya.
 
 Chang berkata, sekiranya pemaju gagal menyiapkan rumah mengikut syarat dalam Perjanjian Jual Beli, pembeli mempunyai hak untuk 
										membatalkan kontrak dan mendapat balik wang pendahuluan berserta faedah jika ada.
 
 Katanya, dengan sistem itu pasti ramai yang berminat membeli rumah. Ini secara tidak langsung menguntungkan pemaju, selain 
										menjadikan industri perumahan perniagaan yang adil kepada pembeli serta pemaju.
 
 Beliau berkata, HBA sering menerima aduan daripada pembeli rumah yang tidak puas hati dengan perjanjian jual beli, keadaan rumah 
										sudah siap yang tidak memuaskan dan risiko bebanan hutang akibat rumah tidak siap.
 
 “Undang-undang bukan saja tidak menyebelahi pembeli dan kerajaan perlu melakukan sesuatu agar pemaju lebih menghormati dan takut 
										hukuman yang dikenakan jika mereka melanggar perjanjian.
 
 “Pemaju sepatutnya mempunyai peri kemanusiaan dan memenuhi tanggungjawab sosial untuk memberi khidmat terbaik kepada pembeli yang 
										juga pelanggan mereka, bukan menekan untuk mengaut keuntungan,” katanya.
 |  
    |  |  |