Satu kunci boleh buka 200
rumah
HARIAN METRO 01/10/2004
ALOR STAR: Selepas menunggu 15 tahun untuk mendiami rumah
baru apabila Projek Penempatan Semula Nelayan Kuala Kedah, dekat sini disiapkan
bulan lalu, penduduk kini berdepan masalah kunci rumah yang serupa pula.
Penduduk mendakwa ada kunci yang boleh membuka sehingga
200 daripada keseluruhan 750 rumah yang dibina di projek yang sepatutnya
dimulakan ketika Tun Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Ini menyebabkan kebanyakan pemilik rumah tidak dapat tidur
lena
berikutan bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku, terutama rumah dimasuki
pihak tertentu.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai wang, pemasangan
pintu besi dan jeriji menjadi jalan penyelesaian.
Tinjauan semalam mendapati kebanyakan penduduk memasang
pintu besi di pintu depan dan belakang rumah masing-masing manakala mereka
yang kekurangan wang hanya menukar kunci rumah mereka.
Siti Zabedah Ismail, 47, berkata dia tidak berani meninggalkan
rumah tanpa dijaga sesiapa sebelum memasang pintu besi jeriji dan akan memastikan
sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga berada di rumah setiap masa.
"Kita terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, bukannya
kita ingin
bermusuhan atau menaruh prasangka kepada jiran tetapi zaman sekarang perlu
berbuat demikian terutama apabila memikirkan ada pihak yang terjebak dengan
dadah.
"Kadangkala dadah ini mengaburkan mata orang yang kita
sangka baik, justeru saya membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk memasang
pintu besi.
Sekurang-kurangnya kita rasa selamat, itu yang penting,"
katanya.
|