Rumah bertingkat (Perangkap
maut kepada kanak-kanak)
Utusan Malaysia
18/10/2004
SERING disebut orang malang tidak berbau. Namun, sesuatu
yang buruk mungkin dapat dielak jika seseorang mengambil langkah berjaga-jaga
dan berhati-hati.
Begitu juga halnya dalam kejadian kanak-kanak terjatuh
dari kediaman bertingkat yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini.
Terbaru membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun, Nurul
Ain Ashikin Shahbudin, yang terjatuh dari tingkat 14, Flat Pelangi Damansara,
Petaling ]aya, Selangor.
Kejadian malang yang menyedihkan itu sepatutnya boleh
dielak dan tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kepada kanak-kanak.
Wartawan ROSMAH DAIN mendapatkan pandangan daripada golongan
profesional berhubung langkah -langkah yang boleh diambil oleh pelbagai
pihak sama ada ibu bapa, pihak berkuasa atau pemaju perumahan bagi mengelakkan
kejadian terjatuh dari rumah bertingkat terus berulang.
KEJADIAN kanak-kanak jatuh daripada rumah pangsa, kondominum
atau kediaman yang bertingkat atau sebagainya telah banyak dipaparkan dalam
media sejak akhir-akhir ini.
Kemalangan itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan Farah,
malah kebanyakannya membawa maut kepada kanak-kanak yang terbabit.
Terbaru, kejadian yang menimpa Nur Ain Ashikin Shahbudin,
tiga tahun, yang mati terjatuh dari tingkat 14 ketika bermain basikal bersama
abangnya di rumah pangsa Pelangi Damansara, Kota Damansara
kejadian ngeri yang tidak sepatutnya berlaku terhadap
anak- anak.
Mungkin di kalangan kita menyalahkan ibu bapa atau penjaga
kanak-kanak terbabit yang gagal mengawasi atau memberi perhatian sehingga
menyebabkan kemalangan seperti itu berlaku.
Begitu pun, ibu bapa atau orang dewasa lain tidak wajar
dipersalahkan sepenuhnya jika kejadian malang seperti itu menimpa.
Menurut Pengarah KALAN, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu,
Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia' (UTM), Skudai, Johor,
Profesor Madya Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi,42, aktiviti cergas merupakan
perkara biasa bagi kanak-kanak.
Katanya, sudah menjadi lumrah atau sifat naluri semula
jadi kanak- kanak yang sentiasa bergerak aktif atau berkeinginan untuk mengetahui
dan melakukan sesuatu yang mungkin bakal memudaratkan diri mereka.
Mampu
"Secara keseluruhan seseorang individu dewasa tidak mampu untuk memberikan
perhatian sepenuhnya
kepada kanak-kanak dalam usaha menjaga keselamatan mereka.
"Kanak-kanak juga selalunya enggan mengikut nasihat orang
dewasa walaupun itu merupakan salah satu cara untuk mendisiplinkan mereka,"
katanya.
Di samping memberi nasihat, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak
sepatutnya lebih peka terhadap keselamatan anak-anak mereka di rumah. Beliau
juga turut tidak menafikan cara reka bentuk kediaman bertingkat khususnya
rumah pangsa tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya.
Keadaan ini turut menyumbang ke arah kejadian malang.
"Banyak keadaan di rumah pangsa yang boleh menjadi penyebab
kepada kejadian kanak-kanak malah orang dewasa jatuh atau mengalami kecederaan.
"Ini termasuklah keadaan ruang yang berbahaya di ruang
laluan (koridor), anjung (balkoni), tingkap dan ruang antara anak tangga,
keadaan yang tidak selesa, keadaan ini yang tidak sesuai dan sebagainya,"
katanya.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak turut diancam bahaya keselamatan
dilanggar kenderaan ketika melintas di hadapan kediaman, jenayah sosial,
kejutan elektrik dan sebagainya.
"Sepatutnya sebelum sesebuah kediaman bertingkat dibina
arkitek dan pihak pemaju perlu menimbang mengenai kesesuaian tempat berkenaan
sebagai tempat kediaman yang dihuni oleh mereka yang berkeluarga dan mempunyai
anak- anak kecil.
"Malangnya kebanyakan kediaman yang dibina terutamanya
di kawasan rumah pangsa kos rendah seolah-olah tidak memenuhi piawaian tempat
kediaman, kerana rumah berkenaan dibina sama seperti reka bentuk pejabat,"
katanya.
Justeru, bagi kediaman bertingkat beliau memberikan beberapa
cadangan yang antara lain mampu memberi perlindungan keselamatan daripada
ancaman maut kepada kanak-kanak yang berada di kediaman tinggi. "
Pelantar
Antaranya, pembinaan kotak pelantar atau pembahagian pelindung sinaran matahari
yang direka khas di setiap tingkat untuk menangkap atau menyambut kanak-
kanak yang terjatuh.
Beliau berkata, reka bentuk sesebuah pangsapuri juga tidak
sepatutnya dibuat secara bangunan yang mana setiap tingkat adalah sama dan
disusun menegak sehingga kecuraman 90 darjah.
Mohamad Tajuddin berkata, rekabentuk setiap lapisan dua
tingkat patut dibuat seperti tangga dimana sekiranya terdapat kanak- kanak
yang jatuh contohnya dari tingkat enam, kanak-kanak berkenaan hanya akan
terjatuh pada tingkat empat atau lima dan tidak terus ke bawah.
"Dinding bilik yang curam juga tidak patut mempunyai bukaan
atau bukaan sekadar untuk pengcahayaan dan diletak enam kaki dari lantai
di samping penggunaan laluan koridor luaran perlu dikawal dan sebaik-baiknya
menggunakan koridor berbentuk dalaman.
"Penggunaan jeriji pada setiap koridor, balkoni, tingkap
dan bukaan tangga perlu direka bentuk supaya mudah dipotong atau dibuka
oleh pihak bomba dari luar sekiranya berlaku kecemasan,"katanya.
Beliau memberitahu, selalunya pembinaan pagar di bahagian
koridor untuk menghalang penghuni kediaman daripada jatuh dibuat setinggi
900 milimeter (90 sentimeter) dan jarak di antara jaring besi pula ialah
empat rod (100 milimeter).
Keadaan pagar yang agak rendah seperti ini memudahkan
kanak- kanak jatuh sekiranya mereka berdiri di atas pasu bunga atau apa
sahaja barangan yang berada di luar yang dijadikan perhiasan.
"Terdapat para arkitek dalam usaha untuk memudahkan kerja,
mereka membina dinding konkrit yang tinggi di balkoni kemudian baru dipasang
jeriji besi yang akan menyebabkan kanak-kanak terasa pemandangan mereka
tersekat dan kemudian mengambil sesuatu untuk dijadikan tempat untuk berdiri
yang mana keadaan ini menyebabkan mereka jatuh," katanya.
Justeru, beliau berkata, sudah sampai masanya semua pihak,
terutama para arkitek dan pemaju perumahan mengambil berat dan lebih bertanggungjawab
dalam pendekatan ke arah penyelesaian terhadap keselamatan kanak-kanak di
kediaman tinggi.
"Para arkitek perlu lebih peka dalam menyediakan pelan
perumahan yang lebih bersifat mesra kepada penghuni terutama kanak-kanak
agar kejadian malang seperti ini tidak berlaku lagi," katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan reka bentuk perumahan
juga perlu dibuat yang tidak memerlukan kanak-kanak melintas jalan untuk
ke sekolah, kedai atau ke taman- taman perumahan lain.
Setiap jalan raya dalam kawasan perumahan juga perlu dilengkapi
bonggol atau paving texture untuk memperlahankan kenderaan serta pasukan
terdapat laluan pejalan kaki dan basikal.
Kes 1
13 Oktober 2004
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati selepas terjatuh dari
tingkat 14, Flat Pelangi Damansara, Kuala Lumpur.
Mangsa, Nurul Ain Ashikin Shahbudin dipercayai terjatuh
ketika sedang bermain bersama abangnya di atas sebuah basikal yang disandarkan
pada dinding koridor kira-kira pukul 9 malam.
Kes 2
8 September 2004
Gara-gara mahu meniru aksi seperti hero ala Spiderman,
seorang kanak-kanak berusia enam tahun terjun dari tingkat empat Flat Bijangga,
Dungun, Kuala Terengganu, Terengganu.
Mohd. Nazir, murid Tabika Kemas Kampung Bijangga itu dikatakan
memanjat jeriji besi beranda belakang rumah secara diam-diam.
Kes 3
8 Ogos 2002
Seorang kanak-kanak berumur tiga tahun mati setelah mengalami
kecederaan Farah apabila terjatuh dari balkoni di tingkat sembilan pangsapuri
Sri Panglima A, Bukit Saujana, Johor Baharu, Johor.
Mangsa, Aina Nadirah Aizan yang mengalami pendarahan di
bahagian kepala dan patah bahu, mati selepas 15 minit dibawa ke hospital
pakar di sini.
Ketika kejadian ibu bapanya sedang sibuk membantu jirannya
yang mengadakan majlis perkahwinan di bawah pangsapuri tersebut.
KES 4
10 Disember 2001
Anak bongsu Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan
Kassim maut setelah terjatuh dari tingkat 31, Kondominium Sri Bistari, Jalan
Putra, Kuala Lumpur.
Ameer Mohammad Fawwaz, 3, meninggal dunia di tempat kejadian
selepas mengalami kecederaan parah.
Difahamkan, sebelum terjatuh, Ameer sedang bermain bersama
abang-abangnya di ruang tamu dan dia dipercayai memasuki salah sebuah bilik
di kondominium tersebut.
Pintu bilik tersebut kemudian dikatakan terkunci dan semasa
cuba mencari jalan keluar, Ameer dipercayai memanjat dan membuka tingkap
bilik itu sebelum terjatuh.
KES 5
9 Ogos 2001
Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang memanjat mesin
basuh yang diletakkan di tepi anjung belakang rumahnya di tingkat 18, Kinta
Heights, Ipoh, Perak maut selepas terjatuh dari anjung itu.
Mangsa, M Calef Joshua terjatuh selepas jeriji besi di
anjung itu tidak berkunci, lalu terkuak apabila tangannya mencapai jeriji
itu.
|