| Pulih tujuh projek sakit Harian Metro 05/10/2004
 
 PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya tujuh projek pembangunan terbengkalai di ibu 
		negara yang gagal disiapkan akibat kegawatan ekonomi sejak 1997 akan dipulihkan 
		semula.
 Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd 
		Isa Abdul Samad, berkata setakat ini sekurang-kurangnya tujuh syarikat pemaju 
		sudah memberikan komitmen untuk meneruskan projek berkenaan. Menurutnya, kebanyakan projek terbengkalai itu milik syarikat 
		swasta dan mereka gagal menyiapkannya mengikut jadual akibat kegawatan ekonomi 
		sejak 1997 lagi. "Melalui perbincangan dengan kementerian, mereka (pemaju) 
		menyatakan kesediaan dan komitmen untuk meneruskan semula projek berkenaan 
		dan boleh memulakannya serta-merta. "Ada antara projek itu sudah mencapai tahap 50 hingga 
		80 peratus siap dan melalui langkah proaktif kementerian, mereka bersedia 
		meneruskan projek itu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan 
		perjumpaan dengan 26 daripada 28 wakil syarikat pemaju projek terbengkalai 
		di kementeriannya di sini, semalam. Hadir sama timbalannya, Datuk Zulhasnan Rafique, serta 
		Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Zulkurnain Awang. Mohd Isa berkata, melalui pertemuan itu, kementeriannya 
		turut mencadangkan langkah yang perlu dilaksanakan syarikat berkenaan termasuk 
		meminda status projek mereka. "Jika sebelum ini, cadangan asal projek berkenaan membina 
		bangunan komersial termasuk hotel, tetapi kita meminta mereka menukarnya 
		kepada projek perumahan dan kediaman. "Ini bagi memastikan projek berkenaan memenuhi keperluan 
		pasaran selain membantu mereka mengurangkan lebih banyak kerugian jika projek 
		itu tidak dapat disiapkan," katanya. Beliau berkata, kementerian difahamkan semua syarikat 
		pemaju terbabit sudah membelanjakan kira-kira RM1.2 bilion bagi pembinaan 
		projek berkenaan. "Kebanyakan projek ini gagal disiapkan kerana pemaju menghadapi 
		masalah kewangan akibat kegawatan ekonomi, malah ada yang hanya memerlukan 
		kira-kira RM20 juta bagi menyiapkan projek itu. "Dalam hal ini, kita cuba mencari jalan membantu mereka 
		termasukberbincang dengan wakil Bank Negara Malaysia (BNM) yang turut hadir dalam 
		perbincangan ini," katanya.
 Mengenai projek Plaza Rakyat yang terbengkalai, Mohd Isa 
		berkata, projek itu agak rumit diselesaikan kerana memerlukan peruntukan 
		kewangan yang besar sebelum dapat dipulihkan. "Ini adalah projek usahasama antara Dewan Bandaraya Kuala 
		Lumpur (DBKL) dengan syarikat swasta. Jadi, kita minta DBKL berbincang semula 
		dengan pemaju terbabit," katanya.  |