PKNS jual rumah "rosak"
BeritaHarian 09/10/2004
"PENANTIAN 10 tahun saya untuk mendapatkan kediaman selesa dan sesuai bagi
membesarkan anak, berkecai pada hari pertama saya ke rumah idaman ini selepas
mendapat kunci," kata Rosilah Subari, 32.Pegawai
bank itu antara lima pembeli rumah berkembar dua tingkat di Seksyen 8, di
sini yang menghadapi pelbagai kerosakan dan masalah berikutan mutu rumah
mereka kurang memuaskan.
Tinjauan mendapati kebanyakan rumah itu bocor, laman yang
tidak ditambak dengan sempurna, tembok penahan yang tidak selamat serta
pemendapan tanah sehingga menyebabkan keretakan di lantai.
Rosilah tidak menyangka kediaman dibeli daripada syarikat
perumahan milik kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
dibina dengan bahan tidak bermutu.
"Tangki air yang boleh mengisi 00 gelen air hanya diletakkan
di atas
papan lapis dan beruti. "Saya hanya mengetahui hal ini selepas tangki air
itu mengalami masalah dan air melimpah sehingga membanjiri tangga," katanya
yang menduduki rumah itu sejak September 2003.
Katanya, setiap malam, beliau perlu memastikan paip utama
ditutup bagi mengelakkan air melimpah, selain bimbang tangki air jatuh.
Rosilah berkata, bilik air juga tidak dibuat dengan sempurna
menyebabkan air bertakung terutama di bilik air tetamu di tingkat bawah.
"Lantai di bilik air di bilik tidur utama juga bocor sehingga
bilik air tetamu di bawah mengalami kebocoran dan meninggalkan kesan berkulat
di siling bilik air," katanya.
Beliau berkata, saluran air kotor dari sinki juga tidak
berfungsi dan bocor.
"Kami sudah mengemukakan aduan sebaik mendapat kunci rumah
dan membuat pemeriksaan.
"Bagaimanapun tempoh kecacatan yang ditawarkan pemaju
kepada kami hanya enam bulan berbanding 18 bulan seperti kebiasaannya,"
katanya.
Rosilah juga bimbang kedudukan punca bekalan elektrik
ke rumahnya yang terletak berdekatan dengan saluran air.
"Televisyen di rumah saya meletup tidak lama dulu dan
ketika Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pemeriksaan pada 1 September lalu,
tiba-tiba bekalan elektrik terputus.
"JKR mencadangkan meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan
meter air diasingkan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Yamin Ali, 45, bimbang kerana
tanah belakang rumahnya mulai mendap sehingga tembok penahan dibina pemaju
retak.
Pemaju juga gagal memastikan tambakan tanah di rumah itu
sempurna sehingga tanah berkenaan menimbusi longkang kecil yang dibina di
tepi pagar rumah.
"Ketika mula masuk ke rumah ini, saya dapati air bertakung
sehingga halaman rumah banjir serta tanah bergerak mengikut air setiap kali
hujan.
Apabila saya membuat aduan, pemaju enggan mengakui kesalahan.
Seperti Rosilah, Mohd Yamin juga tidak berpuas hati dengan hasil kerja kontraktor
yang dipilih pemaju kerana kemasan dalam rumah tidak menepati harga yang
dibayar.
"Kami terpaksa membayar lebih RM540,000 dan berharap memiliki
rumah yang selesa dan cantik.
"Malangnya, kemasan dalam rumah tidak memuaskan dengan
kebocoran serta bau yang tidak menyenangkan sentiasa memenuhi ruang rumah,
saya terpaksa menambah wang untuk membuat pengubahsuaian bagi menutup `kecacatan'
yang menyakitkan mata.
"Tetapi kami terpaksa hidup dalam kebimbangan jika tanah
di belakang rumah terus mendak dan tembok penahan itu tidak boleh menampung
berat rumah, ia mungkin menyebabkan kejadian yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata, usahanya dan empat lagi pemilik rumah
untuk bertemu PKNS seolah-olah tidak dilayan kerana setiap kali menghubungi
PKNS beliau dimaklumkan pegawai dan ketua bahagian terbabit tidak ada atau
sedang bercuti.
Bagaimanapun, semalam, difahamkan beberapa wakil PKNS
menemui penduduk terbabit bagi mengadakan perbincangan mengenai masalah
itu.
|