| Perlu Penguatkuasaan Lebih 
    Tegas Bagi Lindungi Pembeli Rumah Bernama 6/10/2004 Oleh Santha Oorjitham
 
 KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Revisit simple pleasures at Bandar Sungai 
    Buaya, begitulah yang dijanjikan dalam brosur jualan bagi satu projek 
    perumahan di Selangor pada 1997.
 
 Pemaju menjanjikan "pembangunan kurang padat dengan kemudahan infrasturktur 
    yang efisien", dijadualkan siap menjelang pertengahan 1999.
 
 Sebahagian daripada infrastruktur itu ialah "cadangan pembinaan Persimpangan 
    Sungai Buaya" yang jaraknya "hanya 30 kilometer di Lebuhraya Utara Selatan 
    dari Persimpangan Bukit Lanjan (Jalan Duta), Kuala Lumpur."
 
 Tetapi pembeli rumah mendapati bahawa apa yang dijanjikan dalam brosur itu 
    tidak dikotakan.
 
 Hari ini, Bandar Sungai Buaya memang "kurang padat": Hanya 30 peratus 
    daripada rumah itu yang telah dibina, menurut jurucakap Persatuan penduduk 
    Bandar Sungai Buaya.
 
 "Kemudahan infastruktur yang efisien" juga tiada, menurut para pembeli rumah 
    projek berkenaan.
 
 Misalnya, tiada Persimpangan Sungai Buaya. "Sebab utama saya membeli rumah 
    itu ialah kerana jalan persimpangan itu," kata penulis iklan Nawiruddin 
    Zainal Abidin kepada Bernama.
 
 "Saya dijanjikan ia akan hanya mengambil masa setengah jam dari rumah saya 
    ke pejabat saya di Damansara."
 
 Nawiruddin berkata rumah itu juga lewat siap dan Sijil Layak Menduduki juga 
    lewat kira-kira tiga tahun kerana syarat bagi sistem pembetungan tidak 
    dipenuhi.
 
 "Kami menghadapi masalah dengan kutipan sampah kerana jalan keluar-masuk 
    yang sepatutnya dua hala tidak siap," katanya.
 
 Dengan semua masalah, Nawiruddin memutuskan untuk tidak berpindah ke rumah 
    itu.
 
 Tetapi dengan membayar sewa rumah sebanyak RM270 sebulan, beliau menghadapi 
    masalah untuk membayar pinjaman bank RM720 sebulan.
 
 Oleh kerana pemaju masih belum mendapatkan geran individu bagi pemilik rumah, 
    sukar untuk menjual hartanah mereka.
 
 Mungkin di masa depan, masalah yang dihadapi penduduk Bandar Sungai Buaya 
    akan dapat diselesaikan, kata jurucakap persatuan penduduk itu.
 
 Anggota Dewan Undangan Negeri dan anggota Parlimen kawasan itu turut 
    mengemukakan kes berhubung pembinaan persimpangan itu kepada Jabatan Kerja 
    Raya dan jabatan itu sedang menimbangkannya.
 
 Namun berdasarkan pengalaman mereka, jurucakap itu berkata: "Seluruh sistem 
    pembelian dan penjualan rumah di Malaysia perlu disemak semula kerana 
    langsung tidak ada peruntukan bagi pembinaan infrastruktur...di luar rumah 
    anda."
 
 Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting memberitahu 
    Bernama bahawa kementerian sedang menyemak semula Akta Pembangunan Perumahan 
    untuk penambahbaikan.
 
 Beliau berkata kementerian juga sedang menimbangkan untuk memperluaskan 
    kuasa dalam Akta itu, misalnya untuk memasukkan apartmen yang menawarkan 
    servis dan rumah kedai.
 
 Kementerian juga menimbangkan untuk menaikkan pampasan maksimum yang boleh 
    diberikan oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, daripada RM25,000 kepada 
    RM50,000.
 
 "Kementerian akan berbincang dengan Persatuan Pembeli Rumah dan pihak 
    berkenaan yang lain sebelum memuktamadkan cadangan pindaan akta itu," 
    katanya semasa menjawab soalan bertulis.
 
 "Perundangan adalah mencukupi tetapi penguatkuasaannya yang kurang," kata 
    pengerusi jawatankuasa pengamal pindahhak Majlis Peguam Malaysia, Tony Woon, 
    yang jawatankuasa itu mendengar aduan berhubung kerja pembinaan yang tidak 
    kemas.
 
 "Rumah merupakan keperluan asas manusia," kata Pengerusi Jawatankuasa Aduan 
    dan Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk 
    Hamdan Adnan. "Anda tidak boleh bercakap mengenai maruah manusia jika masih 
    ada orang yang tidak mempunyai rumah."
 
 Antara 10 hingga 20 peratus aduan yang diterima jawatankuasa itu ialah 
    mengenai perumahan -- kebanyakannya projek yang lewat atau terbengkalai.
 
 "Perundangan tambahan tidak akan dapat menyelesaikan masalah itu ekoran 
    kurang penguatkuasaan," dakwa Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah 
    Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong.
 
 Chang mempersoalkan sama ada kementerian mempunyai cukup kakitangan 
    berkelayakan untuk mengesan masalah itu dan melakukan pemeriksaan 
    berdasarkan laporan enam bulan sekali mengenai status setiap projek 
    perumahan, daripada pemaju.
 
 "Sebab itu kita cadangkan sistem `bina dan jual' yang akan menggalakkan 
    industri itu melakukan pemantauan sendiri.
 
 Menteri berkata laporan dua tahun sekali daripada para pemaju dikendalikan 
    oleh satu unit di Bahagian Penguatkuasaan dan Pemantauan yang dikenali 
    sebagai Unit Aduan dan Penyiasatan Teknikal.
 
 Jurutera dan juruteknik di unit berkenaan menyiasat laporan berkenaan 
    apabila perlu, katanya.
 
 "HBA juga tidak pernah lihat sebarang laporan media mengenai tindakan 
    undang-undang yang diambil terhadap pemaju perumahan yang degil," kata 
    Chang.
 
 "Kementerian perlu bersikap tegas terhadap mereka dengan menonjolkan kes-kes 
    supaya pemaju sedar bahawa kementerian serius untuk mendakwa mereka."
 
 Ong berkata kementerian memang mengambil "tindakan tegas" terhadap 30 kes 
    pemaju yang gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan 
    Pembeli Rumah.
 
 Kes berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan sekiranya pemaju 
    berkenaan tidak menjawab atau membayar pampasan berkenaan sebelum tarikh 
    akhir, mereka akan dihadapkan ke mahkamah apabila mendapat kelulusan Pejabat 
    Peguam Negara.
 
 Ong berkata jika sabit kesalahan, pemaju boleh dikenakan denda maksimum 
    RM5,000 dan/atau penjara maksimum dua tahun.
 
 "Dalam kes jika pemaju terus enggan membuat bayaran itu, mereka boleh 
    dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau separuh hari 
    selama kesalahan itu dilakukan selepas sabitan," katanya.
 
 Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, ditubuhkan pada Disember 2002, telah 
    menyelesaikan 4,000 daripada 6,000 aduan yang diterima.
 
 Chang berkata tribunal itu telah melakukan "tugas cemerlang" tetapi beliau 
    turut menggesa kementerian menambah kuasa tribunal itu dengan memasukkan 
    bidang kuasa terhadap projek perumahan terbengkalai.
 
 -- BERNAMA
 |