Bangunan kediaman diwajib sedia alat cegah kebakaran
Berita Harian 6/10/2004
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat diarah
menjalankan
kajian untuk memperkenalkan peraturan yang mewajibkan pemilik
bangunan
kediaman memasang peralatan mencegah kebakaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting,
bagaimanapun berkata pada masa ini orang ramai cuma digalak memiliki
peralatan itu bagi mencegah kebakaran di rumah.
"Apa salahnya mengeluarkan sedikit belanja untuk keselamatan diri
kerana
ia adalah satu pelaburan yang berfaedah.
"Kita juga menggalakkan pemaju perumahan mengadakan ciri tambahan
keselamatan dari segi pencegahan kebakaran. Bagaimanapun, sehingga
kini,
belum ada polisi untuk mewajibkan mereka berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan
Persidangan Antarabangsa Institute of Fire Engineers (IFE) 2004 di
Pusat
Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Jaafar Sidek
Tambi dan Presiden Antarabangsa IFE, William Peterson. Persidangan
dua
hari yang dihadiri lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara
itu
adalah yang pertama diadakan di luar Eropah.
Ong berkata, peraturan itu sudah dilaksanakan di sesetengah negara
maju,
seperti di Texas, Amerika Syarikat yang dikuat kuasa sejak 25 tahun
lalu
dan kajian mendapati ia berjaya mengurangkan kebakaran kediaman
sehingga
56 peratus.
Katanya, peraturan itu akan mengambil masa untuk dilaksanakan,
tetapi
apa yang penting ialah kesedaran di kalangan orang ramai perlu
ditingkatkan.
Beliau berkata, peralatan mencegah kebakaran di pasaran sekarang
mampu
dibeli, misalnya satu unit pengesan asap dijual pada harga kira-kira
RM60.
Katanya, ia perlu diletakkan di beberapa tempat strategik dan mudah
dicapai jika berlaku sebarang kecemasan.
"Daripada purata 2,500 kes kebakaran setiap tahun sejak 13 tahun
lalu,
rekod menunjukkan 42 peratus daripadanya membabitkan bangunan
kediaman
dengan kecuaian adalah punca utama kebakaran, sekali gus
menggambarkan
tahap kesedaran orang ramai mengenai bahaya kebakaran masih rendah.
"Saya harap mereka akan lebih berhati-hati untuk melindungi nyawa
dan
harta benda dengan memastikan rumah sentiasa dalam keadaan selamat.
Bahan
mudah bakar perlu disimpan dengan baik dan pastikan pintu keluar
masuk
sentiasa boleh dilalui," katanya.
Pada masa sama, katanya, setiap ahli keluarga perlu memiliki
pengetahuan
asas mengenai apa yang perlu dilakukan ketika kecemasan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Kebakaran Malaysia,
Steven Ooi, berkata alat pemadam kebakaran boleh diperoleh dengan
harga
berpatutan, iaitu alat pemadam api dijual di antara RM50 dan RM100.
Selain itu, katanya, alat penyembur air di rumah kediaman dijual
dengan
harga antara RM30 hingga RM40 setiap satu. |