172 projek
terbengkalai akan dipulih
20/10/2004
Berita Harian
LABUAN: Sebanyak 172 projek perumahan terbengkalai mengandungi
47,700 unit rumah dikenal pasti oleh Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dibaik pulih oleh Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) membabitkan nilai kira-kira RM3.2
bilion.Pengerusi Eksekutif SPNB, Datuk
Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata antara projek perumahan yang
akan dilaksana termasuk di Lembah Beringin, Selangor; Taman Widuri,
Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang; Taman Petaling Jaya, Selangor;
Taman Emas Suria, Batu Pahat, Johor; Taman Sri Gedong Sungai Petani,
Kedah; Taman Kantan Permai, Kajang, Selangor dan Taman Desa Melati,
Tanah Merah, Kelantan.
Projek perumahan yang sedang dilaksanakan pula
ialah di Pelabuhan
Bintulu, Bintulu, Sarawak; Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang;
Taman Sungai Pinang, Klang, Selangor dan Taman Bestari Taiping,
Perak.
Beliau berkata, sembilan projek perumahan
terbengkalai yang sudah
disiapkan SPNB dengan sijil layak menduduki termasuk Taman Seri
Bayu, Seremban; Taman Permai Jaya, Ampang; Taman Sutra, Kulai Johor;
Taman Masai, Kuala Selangor; Wisma Telaga, Butterworth, Pulau Pinang;
Taman Dalma Semenyih, Kajang; Taman Rakyat Gambang, Kuantan, Pahang;
Taman Lingkaran Nur, Cheras, Selangor dan Taman Mutiara Kampung
Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan Labuan.
"SPNB mahu memastikan rakyat mampu memiliki rumah
berkualiti dan selesa sama ada di bandar atau luar bandar di seluruh
negara," katanya pada majlis penyerahan kunci projek rumah
terbengkalai Taman Mutiara, Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan
Labuan, di sini petang kelmarin.
Pada majlis itu, seramai 320 pembeli rumah unit
sederhana dari Fasa 1A di taman berkenaan menerima kunci
masing-masing daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohamad
Isa Abdul Samad.
Tengku Adnan berkata projek perumahan Taman
Mutiara yang diusahakan Syarikat Usahasama KAM-LDAH Sdn Bhd pada
penghujung 1996, terbengkalai pada 2000.
Beliau berkata projek berkenaan diambil alih oleh
SPNB pada 2002 dan rancangan pemulihan telah dimulakan pada 2003
untuk disiapkan.
Projek perumahan Taman Mutiara itu membabitkan 16
blok rumah pangsa kos sederhana dan 20 unit rumah kedai, manakala
harga seunit untuk rumah kos sederhana Fasa 1A bernilai antara
RM67,999 hingga RM69,999. |