This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

12,221 pemilik rumah sepaptutnya insaf
BERITA HARIAN 05/10/2004

BARU-BARU ini akhbar melaporkan kerajaan Pulau Pinang menimbang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap 12,221 pemilik unit rumah kos rendah kerajaan negeri yang gagal menjelaskan tunggakan sewa melebihi RM5.78 juta, selepas mendiaminya sejak 10 tahun lalu.

Tindakan tegas itu sudah dipersetujui mesyuarat Exco dan terpaksa diambil selepas kerajaan negeri sekian lama bertolak ansur. Ia berikutan pemiliknya seolah-olah mengabaikan setiap notis peringatan yang dihantar kepada mereka supaya menjelaskan segera tunggakan sewa berkenaan.

Daerah Seberang Prai Utara (SPU) mencatatkan jumlah tunggakan tertinggi membabitkan 2,260 unit rumah bernilai RM2.8 juta, diikuti Timur Laut (7,516 unit/RM2 juta), Seberang Prai Selatan (742 unit/RM598,000), Seberang Prai Tengah (lebih RM28,000) dan Barat Daya (564 unit/RM322,000).

Selain tunggakan sewa, pemilik rumah terbabit juga dikatakan gagal menjelaskan tunggakan bayaran penyelenggaraan bulanan berjumlah RM1.97 juta.

Walaupun tindakan bakal diambil terhadap pemilik dan penyewa terbabit dianggap tegas, mereka masih boleh bersyukur serta berterima kasih kepada kerajaan negeri. Ini kerana tindakan tegas itu hanya akan diambil selepas mereka tidak membayar sewa rumah selepas 10 tahun.

Kita percaya jika rumah berkenaan adalah milik perseorangan atau syarikat swasta, pemilik atau penyewanya sudah lama diusir keluar, selain mungkin diambil tindakan mahkamah.

Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ketika memohon untuk mendapatkan rumah, kesemua mereka bersetuju untuk akur dengan segala syarat ditetapkan, termasuk menjelaskan sewa dan bayaran penyelenggaraan.

Pemohon turut menggunakan pelbagai saluran termasuk pengaruh pihak tertentu atau ahli politik bagi memastikan permohonan mereka berjaya. Ada juga menggunakan media massa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malahan pihak pembangkang bagi memberi tekanan pihak berkuasa supaya menawarkan rumah berkenaan kepada mereka.

Jika permohonan tidak berjaya, mereka melontarkan pelbagai tuduhan terhadap pihak berkuasa, termasuk mendakwa kerajaan zalim, tidak prihatin dan sebagainya. Sebaliknya, apabila ditawarkan rumah berkenaan, mereka (walaupun bukan semua) bukan saja liat, malah ada yang langsung tidak menjelaskan sewa dan bayaran penyelenggaraan.

Untuk mengatakan mereka tidak mampu adalah sesuatu yang sukar dipercayai. Kalau kita berkesempatan meninjau perumahan kos rendah di sekitar negeri ini, boleh dikatakan ramai penghuninya memiliki kereta, kadang kala bukan setakat jenama kereta nasional.

Sebahagian besar penghuni perumahan berkenaan juga melanggan stesen televisyen satelit berbayar dengan pakej sekitar RM70 sebulan, sedangkan bayaran penyelenggaraan hanya kira-kira RM50 sebulan atau mungkin lebih rendah.

Mungkin tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu bahawa bayaran penyelenggaraan adalah sesuatu yang amat penting dan perlu dijelaskan setiap penghuni rumah bertingkat tinggi seperti rumah pangsa.

Ia bagi kegunaan kos menyelenggara pelbagai perkhidmatan dan kemudahan disediakan, terutama lif, pelupusan sampah dan najis serta lampu. Tanpa dana mencukupi (daripada bayaran penyelenggaraan), akan berlaku kes seperti lif tidak berfungsi, keadaan rumah pangsa yang kotor dan tidak berlampu.

Bagaimanapun dalam kes 12,221 pemilik unit rumah kos rendah kerajaan negeri ini, mereka masih bernasib baik apabila kerajaan negeri menggunakan geran lebih RM1 juta setahun untuk menjalankan kerja penyelenggaraan.

Mereka yang terbabit sepatutnya insaf dan berterima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan terhadap mereka selama ini dan sekali gus segera menjelaskan segala sewa dan bayaran yang tertunggak.

Ini kerana dengan jumlah tunggakan yang banyak itu, kerajaan boleh menggunakannya bagi membina lebih banyak kemudahan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan atau sekurang-kurangnya bagi meningkatkan lagi kemudahan di kawasan perumahan sedia ada.

Sehubungan itu, mungkin juga kerajaan negeri boleh mengubah pendekatan bagi menangani kerenah pemilik rumah yang degil ini dengan mengambil tindakan mahkamah selepas lima tahun mereka tidak menjelaskan sewa dan bukan menunggu sehingga 10 tahun seperti sekarang.

Masa yang terlalu lama untuk mengambil tidak tegas seumpama itu,
dikhuatiri dieksploitasi golongan tidak bertanggungjawab ini dengan
sengaja tidak menjelaskan sewa dan bayaran berkenaan, meskipun mampu.

Tempoh lima tahun selepas mereka gagal menjelaskan sewa untuk diambil tindakan mahkamah mungkin lebih berkesan bagi menangani masalah ini.

Hanya dengan cara itu diharap dapat mendidik pemilik atau penyewa unit rumah kos rendah kerajaan negeri supaya menunaikan tanggung jawab mereka dengan sebaik mungkin.

Selain mengubah mereka daripada menjadi golongan yang `diberi betis, nak peha', langkah tegas itu juga diharap dapat menghapuskan golongan yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga ketika kerajaan berusaha menyediakan prasarana kelas pertama.

Walaupun agak terlewat, langkah yang bakal diambil kerajaan negeri itu diharap akan dapat menyedarkan golongan yang `liat' ini agar tidak terus mengambil kesempatan daripada dasar bertolak ansur kerajaan negeri selama ini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.