2,098 pembeli
rumah hadapi masalah buat tuntutan
Berita Harian 06/09/2003
KUALA LUMPUR: Seramai 2,098 pembeli rumah yang memfailkan kes ke Tribunal Tuntutan
Pembeli Rumah (TTPR), akan menghadapi masalah membuat tuntutan terhadap pemaju
masing-masing.Ini kerana tribunal itu tidak mempunyai kuasa mendengar kes
membabitkan perjanjian jual beli (S&P) yang ditandatangani sebelum 1 Disember
2002, seperti diputuskan Mahkamah Tinggi, kelmarin.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Perumahan (HBA), Chang
Kim Loong, menyarankan kerajaan mewujudkan mekanisme khusus untuk mempertimbangkan
tuntutan pembeli rumah yang majoritinya sudah memfailkan tuntutan di TTPR.
Katanya, cadangan itu akan dikemukakan pada pertemuan dengan Menteri Perumahan
dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dalam tempoh terdekat ini.
"Kami juga akan meminta kerajaan meminda Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan
Pelesenan) 2002 supaya lebih terbuka dan tidak mengehadkan penerimaan kes tuntutan
pembeli rumah pada tarikh tertentu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas keputusan mahkamah kelmarin bahawa TTPR tidak mempunyai kuasa
membuat keputusan kes berhubung S&P yang ditandatangani sebelum 1 Disember 2002
kerana ketika itu tribunal belum diwujudkan.
Hakim Raus Sharif membenarkan permohonan semakan kehakiman dua pemaju perumahan
berhubung keputusan tribunal pada 27 Mac lalu. Keputusan itu mengikat semua
kes lain yang didaftarkan kepada TTPR.
Tribunal dalam keputusannya pada Mac lalu membenarkan enam pembeli mengemukakan
tuntutan mengenai pemaju lambat menyerahkan rumah masing- masing selain gagal
menyiapkan kemudahan kegunaan bersama.
Sementara itu, Ong berkata, Pejabat Peguam Negara akan membuat rayuan terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi, malah Peguam Negara memberi jaminan yang beliau sendiri
akan mewakili kerajaan di mahkamah yang lebih tinggi.
"Kerajaan juga akan dapatkan tarikh paling awal untuk mendengar rayuan itu,"
kata Ong dalam satu kenyataan, sambil menambah, penubuhan tribunal itu dibuat
atas kepentingan pembeli rumah selaras dengan peruntukan undang-undang.
"Kerajaan sudah pasti akan meninjau setiap kemungkinan untuk memastikan tujuan
sebenar penubuhan tribunal itu menepati sasarannya," katanya sambil menambah,
beliau menghormati keputusan mahkamah walaupun terkejut dengannya.
"Saya memandang serius perkara ini dan juga telah mengarahkan Kementerian
saya untuk mengkaji segala kemungkinan untuk memastikan kepentingan dan hak
sah pembeli rumah terus terbela," katanya.
Beliau mengingatkan pemaju, apabila saja mereka memeterai S&P bersama pembeli
rumah, sudah pun wujud tanggungjawab kontraktual yang mereka harus tepati dan
penuhi.
"Mereka tidak harus dipaksa menjalankan kewajipan mereka melalui mahkamah
undang-undang," katanya.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan
Adnan, pula berkata pembeli yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan
boleh menggunakan kaedah lain seperti tindakan sivil.
Bagaimanapun, katanya, pemaju perlu bertimbang rasa dan seharusnya tidak
bertindak sesuka hati untuk memastikan hak pembeli sentiasa terpelihara serta
tidak teraniaya.
|