Eksploitasi pengeluaran CF perlu dibanteras
Berita Harian 8/22/2003
LANGKAH kerajaan mempermudah proses mendapatkan
sijil layak menduduki (CF) sesebuah bangunan dengan mengurangkan jumlah jabatan
yang terbabit memberi kelulusan adalah satu perkembangan baik. Malah, ia sepatutnya
sudah lama dilaksanakan.
Isu CF lewat dikeluarkan bukan perkara baru, bahkan
dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri, Jun lalu, Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sendiri mengarahkan kerajaan negeri supaya mengurangkan
kerenah birokrasi dalam proses kelulusan semua projek pembangunan bagi membantu
merangsang ekonomi negara. Oleh itu, penguatkuasaan sistem baru itu diharap
dapat menggalakkan lagi perkembangan industri pembinaan dan perumahan negara.
Bagaimanapun, apa yang kita bimbang ialah kualiti
projek yang dilaksanakan. Dengan kurangnya birokrasi dan pengawasan, kita khuatir
ada pemaju yang mengambil kesempatan sehingga bangunan atau projek perumahan
yang dibina tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, sekali gus boleh mengancam
keselamatan penghuninya. Jika sebelum ini masih ada projek yang tidak mengikut
spesifikasi walaupun sudah melalui pelbagai peringkat kelulusan, kita tidak
mahu dengan longgarnya pengawasan, keadaan akan bertambah buruk.
Kita tidak bermaksud mempertikaikan kejujuran pemaju,
tetapi wang boleh menggelapkan mata manusia sehingga hilang kewarasan berfikir.
Oleh kerana prosedur baru ini memberi tanggungjawab kepada arkitek dan jurutera
pemaju untuk menjalankan `penilaian sendiri', kita berharap mereka dapat melaksanakan
tugas dengan jujur mengikut kod etika profesion ditetapkan. Sememangnya, sistem
ini sudah dilaksanakan di negara maju dan
keselamatannya terjamin, tetapi di Malaysia, kita
masih perlu berhati-hati kerana masih ada segelintir asyarakat yang memiliki
sifat dan pemikiran `dunia ketiga' walaupun negara membangun begitu pesat sehingga
setanding dengan negara maju. Hanya inilah yang menjadi kebimbangan kerana mengubah
sikap masyarakat bukan sesuatu yang mudah dan jika tidak ditangani dengan bijak,
boleh menggagalkan hasrat kerajaan.
Selain itu, disebabkan sistem baru ini memerlukan
semua majlis tempatan menubuhkan pusat sehenti untuk menguruskan permohonan
CF dan satu lagi pusat di peringkat negeri, kita juga berharap pihak berkuasa
tempatan (PBT) dan kerajaan negeri dapat bergerak segera untuk memastikan tidak
timbul masalah apabila sistem itu dikuatkuasakan Oktober depan. Sebelum ini,
sudah banyak prosedur yang diperkenal, khususnya di peringkat PBT, tetapi gagal
dilaksanakan dengan berkesan kerana bukan saja kakitangannya belum bersedia,
malah mereka tidak diberi latihan dan pendedahan sewajarnya sehingga perkara
yang sepatutnya mudah menjadi lebih susah.
|