'Lapor kepada tribunal pemaju paksa bayar deposit'
Berita Harian 3/7/2003
KUALA LUMPUR: Pembeli rumah, khususnya pembeli apartmen atau unit
kondominum, yang dikenakan bayaran deposit untuk memasuki dan
mengubah suai rumah mereka dinasihatkan mengemukakan masalah itu
kepada Tribunal Perumahan.
Tribunal
Perumahan ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan. Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)
Prof Datuk Hamdan Adnan mempersoalkan kenapa pembeli yang perlu
mengeluarkan sejumlah belanja besar untuk membayar deposit memasuki
rumah dan pengubahsuaian.
"Kutipan deposit ini tidak adil dan membebankan,
kenapa kita perlu tanggung kos tambahan walaupun ia akan
dikembalikan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Hamdan berkata demikian ketika ditanya mengenai
aduan pembeli rumah jenis apartmen di Hulu Klang yang mengadu
terpaksa mengeluarkan kira-kira RM1,600 untuk membolehkan mereka
berpindah dan membuat pengubahsuaian dalaman.
Presiden Fomca itu berkata pemaju atau pengurusan
bangunan sepatutnya memasukkan perkara itu dalam perjanjian jual
beli jika hendak mengenakan bayaran sedemikian dan memberitahu
pembeli, sebelum perjanjian ditandatangani.
Seorang Pegawai Jabatan Bangunan dan Senibina
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ketika dihubungi mengenai
perkara itu berkata kutipan bayaran deposit itu di luar bidang kuasa
MPAJ.
"Kutipan deposit yang diambil itu mungkin
bertujuan memastikan tiada kerosakan berlaku pada bangunan dan
memastikan kebersihan kawasan terjaga berikutan kerja-kerja
pengubahsuaian yang dilakukan penghuni unit," katanya.
Beliau berkata pembeli rumah sepatutnya berurusan
dengan pemaju atau pengurusan bangunan yang selalunya dibentuk
dengan wakil penduduk mengenai masalah itu.
Sementara itu, pemaju projek perumahan berkenaan
ketika dihubungi berkata deposit RM1,600 itu ialah bagi deposit
memasuki rumah (RM300), pengubahsuaian dalaman seperti memasang
kabinet dapur (RM1,000) dan pembuangan sisa binaan (RM300).
Wang berkenaan akan dikembalikan dalam tempoh
seminggu untuk deposit memasuki rumah manakala bagi deposit
pengubahsuaian dalaman dan pembuangan sampah, akan dikembalikan
dalam tempoh sebulan.
"Kutipan ini bertujuan menjaga kepentingan pemilik
rumah lain dan kawasan awam sekitar apartmen itu dan untuk mengelak
sebarang kerosakan," katanya. |