Hasrat miliki rumah berkecai
17/07/2003
Berita Harian
HASRAT memiliki rumah sendiri memang menjadi idaman sepanjang hidup semua
orang, kerana tempat berteduh itu walaupun kecil, tetapi penting untuk
membina keluarga bahagia dan masa depan lebih gemilang.
Bagaimanapun, jika rumah yang dibeli itu masih belum siap, idaman itu
pastinya tidak kesampaian, malah diselubungi perasaan kecewa apabila melihat
rumah berkenaan terbengkalai.
Seramai 139 pembeli rumah di Taman Kerisi, Mambau, dekat Seremban adalah
antara mereka yang diselubungi kecewa kerana rumah yang menjadi idaman dan
dibeli sejak tahun 2001 sehingga kini masih terbengkalai.
Sehubungan itu mereka meminta pihak kerajaan negeri campur tangan bagi
menyelesaikan masalah itu demi kebaikan bersama.
Projek taman itu yang dimulakan sejak 2001 mengandungi 139 unit rumah teres
kos rendah dan sederhana berharga antara RM40,000 hingga RM105,000
bergantung kepada saiz tanah.
Sebanyak 70 peratus pembeli rumah berkenaan Cina dan India manakala
selebihnya adalah Melayu yang kebanyakannya kakitangan Hospital Besar
Seremban.
Mereka tidak puas hati terhadap pemaju terbabit yang beroperasi di
TamanOakland, Seremban Dua, di sini, kerana sudah lebih setahun rumah
berkenaan tidak dapat disiapkan sehingga menimbulkan kesulitan pembeli.
Tinjauan Berita Harian ke lokasi, mendapati projek perumahan itu kira- kira
70 peratus siap dengan keadaan rumah kos rendah masih belum mempunyai pagar,
pintu dan struktur pembinaan kawasan dalaman dan luar rumah belum sempurna.
Tinjauan juga mendapati keadaan kawasan perumahan itu telah mula ditumbuhi
rumput manakala jalan masuk ke taman itu masih belum diturap.
Jurucakap pembeli rumah berkenaan, Ahmad Zaidi Mohamad, 32, berkata secara
keseluruhannya pembeli sudah menyelesaikan segala urusan pemprosesan dan
sebahagian besar daripada mereka sudah dikenakan pemotongan bayaran bulanan
oleh pihak bank antara RM490 hingga RM900 sebulan.
Beliau berkata, disebabkan rumah yang dibeli masih belum siap, sebahagian
besar pembeli terpaksa pula menyewa rumah untuk keluarga dengan kadar antara
RM300 hingga RM400 sebulan.
"Kami bukan saja terpaksa membayar ansuran bulanan kepada bank malah dalam
masa sama membayar sewa rumah. Walau pun keadaan rumah yang terbengkalai itu
pernah dimaklumkan kepada pihak bank tetapi pihak terbabit tetap mahu
pembeli membayar ansuran bulanan dan ini amat membebankan.
"Kami pernah menyuarakan masalah ini kepada peguam tetapi mereka tiada
mengambil sebarang usaha dan tindakan untuk membantu, malah pihak pemaju
sendiri tidak pernah menemui pembeli untuk berbincang dan menyelesaikan
masalah yang dihadapi.
"Kami kecewa terhadap sikap pemaju terbabit yang tidak mengambil kira
kepentingan pembeli," katanya ketika ditemui, semalam.
Berikutan kegagalan pihak pemaju menyiapkan rumah berkenaan, pembeli sepakat
untuk meminta pihak berkuasa terutama kerajaan negeri campur tangan supaya
pemaju meneruskan projek berkenaan demi kepentingan bersama.
Mereka meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap memaju
terbabit jika dapati gagal menyiapkan projek rumah berkenaan dalam tempoh
terdekat, malah tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan
Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam tempoh sehari dua ini.
Mereka sedia berjumpa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan
negeri, Datuk Yeow Chai Thiam, untuk berbincang bagi mencari jalan
penyelesaian yang terbaik demi kebaikan semua pihak.
"Sudah sampai masanya pihak berkuasa memberi perhatian serius mengenai
perkara ini kerana ramai yang menjadi mangsa pihak pemaju yang cuba
sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan
perniagaan sehingga menimbulkan kesulitan pembeli," kata Chey Jiun Loong,
30, yang juga antara pembeli rumah itu.
|