Urusan
lulus CF lebih sistematik
13/06/2003 Berita Harian
KUALA LUMPUR: Satu garis panduan sistematik dan lebih jelas
berhubung urusan meluluskan pelan pembangunan dan sijil layak
menduduki (CF) akan dikeluarkan kepada semua pihak berkuasa tempatan
(PBT) dan kerajaan negeri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting,
berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi di
sesebuah agensi ketika meluluskan permohonan CF dan pelan
pembangunan, selain mempercepatkan proses kelulusannya.
Melalui garis panduan itu, semua PBT di seluruh negara wajib
mewujudkan pusat sehenti masing-masing bagi memastikan segala urusan
penerimaan dan pemprosesan pelan pembangunan serta CF diluluskan
segera.
Selain itu, pegawai PBT dilarang mengenakan syarat tambahan termasuk
bayaran tertentu dalam meluluskan permohonan berkenaan.
Beliau berkata, garis panduan baru itu menetapkan pelan pembangunan
mesti diluluskan dalam tempoh 12 minggu, manakala pemeriksaan dan
perakuan daripada tujuh jabatan teknikal serta agensi lain, tidak
melebihi empat minggu.
"Dulu, mereka mengambil masa bertahun-tahun untuk memberi kelulusan
kerana pelbagai masalah seperti permohonan tersadai di sesebuah
jabatan atau agensi. Sekarang, kita hendak semua proses itu
disatukan melalui pusat sehenti.
"Jika ada kes rumit, PBT perlu rujuk pihak berkuasa negeri. Garis
panduan sedia ada akan dikekalkan, termasuk proses mendapat CF tidak
melebihi 14 hari," katanya selepas melancarkan kad Supreme-Red Hot
World Card di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengarahkan
kerajaan negeri mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses
kelulusan semua projek pembangunan bagi membantu merangsang ekonomi
negara.
Arahan itu disampaikan Perdana Menteri pada mesyuarat dengan Menteri
Besar dan Ketua Menteri di Putrajaya.
Beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dihubungi selepas
mesyuarat itu menjelaskan, Dr Mahathir tidak puas hati dengan
kelewatan kelulusan di sesetengah negeri seperti pindah milik tanah,
CF, pelan bangunan dan penguatkuasaan undang-undang.
Ong berkata, semua PBT dan kerajaan negeri perlu menyebarkan garis
panduan baru itu melalui media massa, laman web serta mencetak
risalah supaya pelanggan lebih faham dan jelas apabila berurusan
dengan mana-mana jabatan berkaitan.
Beliau berkata, garis panduan lebih jelas itu selaras dengan
pengumuman pakej rangsangan ekonomi oleh Perdana Menteri baru-baru
ini, yang bertujuan mempercepatkan proses pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada sektor pembuatan dan sektor
perkhidmatan dalam meluluskan pelan pembangunan dan CF.
Ditanya sama ada pengeluaran garis panduan itu juga bertujuan
mengelak amalan rasuah atau penyelewengan, beliau berkata ia memang
boleh mengelakkan mana-mana pihak yang cuba menyeleweng atau
menyalahgunakan kuasa.
"Jika semua garis panduan ini diikuti sepenuhnya, orang awam yang
berurusan dengan PBT atau mana-mana agensi berkenaan dapat
mengetahui sama ada wujud sebarang unsur rasuah atau penyelewengan
dan boleh melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah," katanya.
Ong juga mengesahkan, kementeriannya sedang mengkaji untuk meminda
undang-undang bagi membolehkan kakitangan PBT ditukarkan ke
mana-mana agensi di bawah PBT berlainan dalam negeri sama.
Melalui pindaan itu, urusan penyeliaan dan pelaksanaan perkhidmatan
di dalam PBT akan menjadi lebih berkesan selain dapat mempercepatkan
proses kelulusan sesuatu permohonan.
"Mana-mana kakitangan PBT yang tidak menjalankan tugas dan
tanggungjawab mengikut prosedur kerja serta menyeleweng sememangnya
boleh dikenakan tindakan disiplin.
"Kementerian sedang berbincang dengan pejabat Peguam Negara untuk
meminda undang-undang itu," katanya sambil menambah, ketika ini
seseorang kakitangan PBT tidak boleh ditukarkan ke mana-mana PBT
yang berlainan walaupun individu terbabit tidak produktif.
Beliau berkata, dengan pindaan itu, mana-mana kakitangan tidak
produktif boleh ditukarkan ke agensi berlainan di bawah PBT dalam
negeri yang sama supaya perkhidmatan PBT itu lebih cekap.
Ong juga berkata, satu garis panduan berhubung pembinaan tandas yang
"mesra pengguna" juga akan dikeluarkan kementerian itu tidak lama
lagi.
|
|
|