This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Lambakan rumah beri peluang pilih kediaman terbaik
Harian Metro 22/5/2003

KUALA LUMPUR: Lambakan hartanah di pasaran sekarang membolehkan orang ramai memilih rumah terbaik.

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong, berkata program Harapan Rakyat Memiliki Perumahan (Harapan) yang diperkenalkan dalam pakej baru rangsangan ekonomi memberi banyak kelebihan kepada pembeli.

Menurutnya, faktor lambakan rumah di pasaran juga memberi pilihan kepada pembeli mendapatkan kediaman terbaik dan sesuai melalui kemudahan program Harapan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai membeli rumah sudah siap dibina yang banyak di pasaran sekarang berikutan lambakan hartanah yang tidak terjual selepas sembilan bulan disiapkan.

Beliau meminta pembeli memeriksa latar belakang dan mengelak membeli hartanah daripada pemaju bermasalah seperti projek terbengkalai atau gagal membayar ganti rugi kepada pembeli yang lewat menerima unit kediaman.

Mengulas usaha mempercepatkan pemberian sijil layak menduduki, Chang berkata, isu itu tidak timbul jika pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi peraturan untuk mengeluarkannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh permohonan.

"Undang-undang itu sudah diwujudkan, masalahnya banyak PBT gagal melaksanakannya.

"Mereka perlu mengikut peraturan itu, barulah masalah sijil layak
menduduki dapat diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyifatkan pakej rangsangan itu memberi faedah bersama kepada rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dan pemaju perumahan.

"Ini kerana majoriti penduduk negara ini mempunyai pendapatan RM60,000 hingga RM80,000 setahun yang menjadi pembeli utama rumah bagi kategori berharga antara RM100,000 hingga RM180,000 yang diberikan pengecualian cukai sehingga RM5,000," kata Presidennya, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip.

Menurutnya, kemudahan kadar faedah yang lebih rendah iaitu tiga peratus bagi tahun pertama atau tanpa faedah ke atas bayaran 10 peratus wang pendahuluan untuk pembelian rumah berharga bawah RM100,000 melalui pinjaman Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menjadi faktor tarikan jualan bagi kategori rumah berharga RM100,000 ke bawah.

Beliau memuji langkah kerajaan mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan sijil layak menduduki yang dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan seterusnya memberi manfaat kepada pembeli dan pemaju.

"Ini adalah pakej yang sangat baik dan menguntungkan kedua-dua belah pihak, pembeli dan pemaju," katanya.

Ng yakin insentif baru dalam Pakej Strategi Baru yang turut mengambil kira cadangan dan permintaan Rehda sebelum ini, akan merancakkan sektor hartanah dan jualan rumah.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.