Bil tunggakan
Flet PKNS RM8.4j
Harian Metro 26/5/2003
BANGI: Tunggakan bil perkhidmatan penyelenggaraan bagi pangsapuri Perbadanan
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini mencecah RM8.4 juta, berikutan sikap
penghuni yang melengahkan pembayaran.Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim,
berkata jumlah tunggakan yang belum dijelaskan itu membabitkan kira-kira 22,000
pemegang akaun di seluruh negeri, dari tahun 1980-an hingga 20 Mei lalu.
Menurutnya, mengurus pangsapuri PKNS di seluruh negeri bukan satu perkara
mudah, malah memerlukan belanja berjuta ringgit setiap tahun bagi tujuan penyelenggaraan
mengutip sampah, memotong rumput dan membaik-pulih kerosakan.
Oleh itu, katanya PKNS terpaksa mengenakan pembayaran perkhidmatan terhadap
penghuni pangsapuri, dengan kadar antara RM12 hingga RM65 sebulan, bergantung
kepada kediaman masing-masing.
"Tetapi, kami dapati ada yang kurang prihatin terhadap tanggungjawab masing-masing,
khusus dalam pembayaran bil penyelenggaraan. Saya memohon penghuni kediaman
PKNS memberikan kerjasama menjelaskan tunggakan itu, di samping bil bulanan
secara teratur.
"Jika susah sangat hendak bayar sekali gus, pemegang akauan terbabit boleh
membayar secara ansuran. Sekiranya semua ini dapat dilakukan, PKNS dapatlah
punca pendapatan," katanya, pada Program Gotong-Royong Perdana Membasmi Nyamuk
Aedes di persekitaran Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, disini, semalam.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz;
Setiausaha Kerja PKNS, Alias Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk
Pangsapuri Seksyen 3, Kamaruzaman Ahmad.
Program selama empat jam bermula 8 pagi itu membabitkan penduduk, Majlis
Perbandaran Kajang (MPKj), Alam Flora, Jabatan Perpaduan Negara Daerah Hulu
Langat, Sara Lee Malaysia Sdn Bhd, Pejabat Kesihatan Hulu Langat dan Jabatan
Bomba dan Penyelamat.
Menurut Harun, PKNS berusaha mendapatkan bayaran tunggakan itu melalui
pelbagai kaedah, kerana ia menjadi punca pendapatan dan dalam masa yang sama
untuk meningkatkan lagi kualiti penyelenggaraan.
Antara usaha yang diambil katanya, operasi kutipan dari rumah ke rumah,
tindakan undang-undang, mendapatkan bantuan agensi profesional, memotong bekalan
air di kediaman terbabit dan program sosial untuk merapatkan hubungan dengan
penduduk.
|