Mangsa tanah mendap diberi rumah
sementara
11/04/2003
Berita Harian
SHAH ALAM: Keluarga mangsa yang rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat
pemendapan di Blok 5, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
di Seksyen 19 sudah dipindahkan ke Seksyen 24, di sini, Isnin lalu.
Fodziah Abu Kassim, 57, dan keluarganya dipindahkan ke
rumah pangsapuri milik PKNS untuk tempoh sementara sehingga dua bilik
rumahnya yang mendap di Seksyen 19 siap diperbaiki dan disahkan selamat
diduduki.
Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Mohd Salim Yusoff,
berkata ketika ini cuma keluarga Fodziah saja dipindahkan ke pangsapuri
lain selebihnya 59 keluarga lain dari blok yang sama masih menetap di
situ.
Bagaimanapun, katanya, jika penghuni lain berasa bimbang
akan keselamatan mereka atau tidak yakin menetap di situ, mereka akan
dipindahkan ke rumah lain, buat sementara waktu.
“Jurutera kami sedang memantau semua perkembangan di
blok ini termasuk kerja membaiki rumah Fodziah dijangka disiapkan dalam
tempoh tujuh hingga 10 hari.
“PKNS menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada
keluarga Fodziah dengan menyediakan kemudahan pengangkutan untuk berpindah
ke Seksyen 24,” katanya selepas meninjau tempat kejadian itu di sini,
kelmarin.
Dalam kejadian Ahad lalu, lantai dua bilik di rumah unit
bawah mangsa terjatuh dan mendap tanah menyebabkan seluruh penghuni di
blok 5 pangsapuri itu berlari keluar dari rumah masing-masing.
Selain lantai mendap, rumah mangsa juga mengalami
retakan berikutan mendapan itu sehingga membentuk garisan lubang, besar
pada dinding rumah berkenaan.
Mohd Slim berkata, sehari selepas kejadian, penghuni
lain diminta berpindah ke Dewan Serbaguna di Seksyen 19, tetapi mereka
pulang semula selepas menerima surat daripada jurutera PKNS yang
mengesahkan rumah mereka selamat diduduki.
“Ketua Jurutera Penyeliaan, Hing Kok Yin berkata dalam
surat pada 7 April lalu menyatakan pemendapan lantai pada dua bilik dan
dinding pemisah di unit itu adalah sekitar unit itu saja dan bukannya
disebabkan kelemahan struktur bangunan.
“Memandangkan keseluruhan struktur disokong cerucuk
konkrit, beliau memberi jaminan tempat itu selamat didiami,” katanya.
Sementara itu, Fodziah yang sudah menetap di rumah
berkenaan sejak dua tahun lalu berkata, ketika kejadian, beliau tiada di
rumah kerana sibuk menguruskan bil rawatan arwah suaminya di Petaling
Jaya.
“Ketika kejadian, anak saya Ahmad Farid, 23, sedang
sibuk menyiapkan diri untuk pergi kerja dan dengan tiba-tiba terdengar
bunyi dentuman yang kuat seperti guruh di dua bilik.
“Lantai di dua bilik mendap manakala dinding retak
sehingga membentuk lubang besar,” katanya sambil mengucapkan terima kasih
kepada PKNS kerana menyediakan rumah sementara untuk keluarganya.
|