30 rumah teres retak menanti
masa runtuh
22/04/2003
Berita Harian
Lebih 30 penghuni dua blok rumah teres dua tingkat di Taman Subang Permai
dekat Subang Jaya dalam kebimbangan sejak enam tahun lalu berikutan kediaman
mereka retak teruk akibat tanah mendap dan mendakwa tidak selamat diduduki.
Penduduk percaya ada saliran air bawah tanah berpunca daripada tanah lombong
berhampiran kawasan perumahan itu shingga menyebabkan tanah cepat mendap
sehingga 0.5 meter dan struktur rumah menjadi retak.
Berikutan itu, sebahaguian tanah di luar rumah berlubang, dinding rumah
retak, saluran tangki najis mendap manakala tangki najis serta paip air
pecah sehingga menyebabkan penghuninya terdedah kepada pelbagai bahaya
termasuk binatang berbisa memasuki rumah berkenaan.
Tinjauan Berita Harian mendapati ada antara penghuni yang kediamannya
berhampiran kawasan lombong itu berpindah dari kediaman masing-masing kerana
bimbang rumah mereka tidak lagi selamat dan mengancam keselamatan.
Difahamkan, sejak 1994 lagi penduduk terbabit berkali-kali membuat aduan
kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pemaju, Coral Land
Corporation tetapi sehingga kini tiada tindakan susulan dibuat.
Penduduk, Nor Azman Baharum, 42, berkata penduduk sudah bosan da jemu untuk
terus managih janji daripada pihak terbabit. Sejak enam tahun lalu,
kedua-dua pihak seolah-olah lepas tangan dan sering memberi janji tetapi
sehingga kini ia tidak dipenuhi.
“MPSJ ada datang ke sini beberapa kali, paling akhir enam bulan lalu untuk
meninjau serta mengambil gambar tempat kejadian untuk dilaporkan kepada
pihak atasan. Mereka kata kerosakan bahagian luar boleh mereka (MPSJ) baiki
tetapi bahagian dalam rumah bukan tanggungjawab mereka.
“Kami faham peraturan itu dan penduduk tidak mempertikaikannya. Walaupun
begitu, sehingga kini masalah berkenaan tidak diatasi. Hidup kami di sini
sentiasa dalam kebimbangan dan ketakutan kerana nyawa kami tidak selamat.
“Kami sudah lama dan jemu menunggu. Kami berharap pihak terbabit mencari
jalan menyelesaikannya. Jangan sampai sehingga berlaku kehilangan nyawa baru
hendak ambil tindakan. Itu sudah terlewat,” katanya.
Jirannya, Mohd Azmi Mohd Noh, 53, berkata beliau sendiri terpaksa
mengeluarkan belanja RM10,000 untuk membaik pulih bahagian depan rumahnya
yang mengalami kerosakan beberapa tahun lalu akibat tanah mendap.
“Apabila saya pecahkan simen di depan rumah, saya dapati ada air bertakung
di dalam tanah dan saya terpaksa mencedok membuangnya sebelum memasang
saluran untuk mengalirkan air ke dalam tanah kemudian menurap kembali dengan
simen,” katanya.
|