Tiada syarat
tambahan dapat CF
15/12/2003 Berita Harian
PELABUHAN KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak pernah
mengenakan syarat tambahan menyebabkan pemaju dan pembeli rumah
mengalami kelambatan mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki (CF).
Yang Dipertuanya Datuk Mohd Sharif Yusof, berkata MPK
tidak pernah melakukannya sebagaimana didakwa adanya Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) dan pegawai berkaitan sengaja mengadakan syarat
tambahan kepada pelan awal pemaju menyebabkan mereka mengalami
kesulitan memenuhi syarat dan tidak mendapat kelulusan CF.
"Bagaimanapun MPK mengambil kira kelulusan jabatan
teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan
Penyelamat serta jabatan berkaitan," katanya selepas merasmikan
Pusat Warga Emas Pandamaran dekat sini, semalam.
Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) kawasan Pelabuhan Klang Datuk Teh Chang Ying, Adun
kawasan Bandar Klang Teng Chang Khim, Pengarah Kesihatan MPK Rosli
Udin, Penaung Pusat Warga Emas Pandamaran, Datuk Dr Tee Kim Poo dan
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Pandamaran Low Thiam Seng.
Mohd Sharif, berkata MPK selalu berpandukan kepada
pelan asal yang dikemuka kan oleh pemaju dan sekiranya ada syarat
tambahan dibuat sebelum pelan itu diluluskan untuk pembinaannya dan
bukan setelah pembinaan siap.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohammad Khir Toyo
dalam sidang akhbarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Rabu,
lalu mendakwa adanya PBT dan pegawai berkaitan yang sengaja
mengenakan syarat tambahan kepada pemaju setelah kerja-kerja pelan
awal yang diluluskan siap.
Bercakap mengenai Warga Emas beliau, berkata MPK
prihatin kepada golongan itu dan menghormatinya kerana pernah
mencurah jasa dan bakti bukan saja kepada masyarakat, tetapi bangsa
dan negara.
Warga Emas, katanya adalah mereka yang pernah
berkhidmat dalam pelbagai bidang seperti di sektor awam, swasta dan
berkecimpung dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang banyak
berjasa dan tidak sepatutnya diabaikan.
Sehubungan itu, katanya sebagai menghargai jasa
dan bakti mereka MPK meluluskan tiga gerai di Pandamaran sebagai
Pusat Warga Emas bagi membolehkan mereka bertemu dan bertukar
fikiran di antara satu sama lain dan meluahkan perasaan daripada
pengalaman dan pandangan masing-masing.
"Saya dimaklumkan bahawa sebelum adanya Pusat ini
mereka sering berkumpul di restoran dan kedai minum biasa yang
kurang menyenangkan pekedai kerana terlalu lama berbincang
menyebabkan mengganggu pelanggan lain tidak mendapat tempat duduk
dan tidak disukai oleh pekedai," katanya.
Sharif, berkata dengan adanya tiga gerai dua untuk
lelaki dan sebuah untuk wanita golongan Warga Emas khasnya di
Pandamaran boleh menggunakan untuk mengadakan pertemuan sesama
mereka dalam jangka waktu tidak terhad.
Beliau berharap Warga Emas akan menggunakan dan
menjaga kemudahan itu sebaik-baiknya di samping menyeru lebih ramai
penderma membantu kegiatan mereka. |