Welcome Main  Forum FAQ Useful Links Sample Letters Tribunal E-Mail Contact

This website is
 sponsored.gif

banner.gif
Rumah siap baru jual
13/12/2003 Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan di negara ini diminta lebih bertanggungjawab termasuk memastikan rumah yang dibina siap terlebih dulu sebelum dijual kepada pembeli.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata ini bagi memastikan pembeli rumah mendapat layanan baik.

"Saya cuma beri pandangan peribadi kerana ini akan membabitkan dasar dan soal perubahan undang-undang.

"Walaupun sebahagian pemaju dapat menyempurnakan kerja dengan baik, masih ada aduan yang diterima, termasuk Tribunal Pengguna.

"Antara aduan paling banyak dibuat ialah mengenai perumahan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Pemilikan Rumah Grand Raya X'mas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini, semalam.

Kempen Pemilikan Rumah kali kelapan selama empat hari berakhir Ahad ini, disertai lebih 60 pemaju perumahan.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan S K Brothers, Datuk Dr Yahaya Ibrahim; Pengerusi Eksekutif Kumpulan S K Brothers, S K Chan dan Pengerusi Penganjur Kempen Pemilikan Rumah 2003, Charlie Chan.

Muhyiddin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana masih ramai pembeli rumah yang menyatakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pemaju yang gagal menyiapkan rumah dan sekali gus membebankan pengguna hingga ada yang terpaksa menunggu di antara lima dan 10 tahun sebelum dapat menduduki rumah.

"Saya faham Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sentiasa berusaha menangani masalah ini.

"Sebab itu, satu pendekatan mungkin perlu diadakan atau dijadikan peraturan baru dengan memastikan pemaju perumahan mempunyai inisiatif memberi keyakinan kepada pengguna mereka akan mendapat produk yang dibeli apabila mereka membayarnya," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menasihatkan pemaju perumahan tidak mengambil kesempatan menjual rumah dengan harga tinggi sehingga tidak mampu dibeli.

"Walaupun kadar keuntungan yang dinikmati pemaju mungkin menurun apabila menjual dengan harga yang rendah, saya percaya keadaan ini adalah sesuatu yang baik kepada pengguna kerana mereka boleh membeli rumah dengan harga yang lebih rendah dan kompetitif mengikut kemampuan kewangan mereka," katanya.

 

Welcome Main  Forum FAQ Useful Links Sample Letters Tribunal E-Mail

National House Buyers Association

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803

© 2001-2004, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.