100 pembeli
kecewa rumah retak, bocor
Berita Harian 21/11/2003
KLANG: Kira-kira 100 pembeli rumah Taman Andalas Jaya, Fasa 3
mendakwa menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab pemaju apabila
mendapati kediaman mereka dibina tidak mengikut pelan dan
spesifikasi asal, sehingga ada di antaranya retak dan bocor.
Penduduk menyedari terdapat beberapa perbezaan antara
rumah mereka dengan spesifikasi yang dinyatakan dalam Surat
Perjanjian Jual Beli (S&P). Mereka juga kecewa kerana rumah yang
dibeli pada harga minimum RM159,800 itu dibina daripada bahan
bermutu rendah sehingga menyebabkan dinding retak, tandas bocor dan
tersumbat, manakala soket elektrik pula rosak.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Muda Ibrahim,
berkata pembeli terbabit sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi
menyiasat perkara itu.
"Kita dapati pemaju meminda pelan asal tanpa
memaklumkan kepada penduduk. Kini ada rumah yang retak sehingga
penduduk bimbang berlaku kejadian buruk yang boleh mengancam nyawa.
"Kita juga hairan bagaimana sijil layak menduduki
(CF) projek itu diluluskan sedangkan pelan serta binaan fizikal yang
dilakukan melanggar syarat seperti yang terkandung dalam pelan dan
Surat Perjanjian Jual Beli," katanya dalam satu pertemuan dengan
penduduk.
Muda berkata, beberapa pembeli sudah melaporkan
kecacatan binaan rumah itu kepada pemaju pada 1999 dan aduan juga
dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan kerajaan tempatan pada
2001.
"Malah, kita sudah melaporkan kes ini kepada
Pejabat Menteri Besar pada tahun 2001. Kita dimaklumkan kedua pihak
sudah mengarahkan pemaju terbabit bertindak terhadap aduan penduduk.
"Bagaimanapun, pemaju menafikan segala aduan itu
dan masalah itu terpaksa kami tanggung sehingga sekarang. Kalau
pemaju boleh mengenepikan arahan kerajaan negeri dan kementerian,
kepada siapa lagi kami nak mengadu?" kata beliau.
Muda berkata, penduduk tidak akan berasa ditipu
sekiranya rumah yang dibeli dengan harga semahal itu, memuaskan hati
dan sepadan dengan harganya.
"Tetapi nampaknya, pemaju menyiapkan rumah itu
sambil lewa, dengan kemasan akhir (finishing) tidak sempurna. Kami
hanya menuntut keadilan dan hak kami sebagai pembeli. Kami percaya
ada unsur penipuan, terutama membabitkan struktur binaan dan saiz
rumah yang disiapkan, berbanding ukuran asal," katanya.
Sementara itu, jurucakap Glomac Homes Sdn Bhd,
yang memajukan projek itu, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut
kecuali berkata syarikat itu sudah ditukar nama kepada Andalas
Homes. |