Masalah penduduk Bukit
Beruntung 7 tiada kesudahan
BeritaHarian 21/10/2003 By Md Fuzi
Abd Lateh RUMAH siap pahat
berbunyi sesuai bagi menggambarkan kesulitan
sekumpulan penduduk di Seksyen Bukit Beruntung 7
(BB7), Hulu Selangor, yang tidak puas hati terhadap
pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi
berkaitan yang gagal menunaikan tanggungjawab sosial
memberikan perkhidmatan terbaik.
Majlis dialog penduduk
bersama pihak terbabit yang diadakan di
Padang Takraw, Apartmen Seri Kembangan,
Bukit Beruntung, baru-baru ini terus
menemui jalan buntu kerana dua pihak
gagal menghadirkan diri.
Dua pihak yang pada
mulanya dikatakan akan hadir ialah dua
pemaju perumahan dan pejabat wakil
rakyat kawasan mereka.
Lebih 200 penduduk
bertegang leher mengemukakan 14 masalah
yang dialami membabitkan prasarana awam
taman, bekalan elektrik, rumah bocor,
sistem perparitan, keselamatan, bekalan
air, penjagaan kebersihan perumahan dan
kelulusan Sijil Layak Menduduki Rumah
(CF) yang dikeluarkan PBT.
Tinjauan Berita Harian
mendapati hanya dua daripada lima wakil
yang hadir untuk mendengar rintihan
penduduk di sembilan kelompok perumahan
BB7 itu.
Dua wakil itu ialah
dari Balai Polis Bukit Sentosa dan dua
pegawai Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)
yang sanggup mendengar rintihan penduduk
dalam dialog selama lima jam.
Ada 606 unit rumah kos
sederhana rendah di BB7 yang membabitkan
penduduk di enam apartmen di Seri
Kembangan, Seri Tanjung, Seri Seroja,
Seri Trompet, Seri Lili dan Seri
Semarak. Rumah teres berkembar dua
tingkat pula ialah di Jalan Seroja dan
Jalan Semarak.
Lebih 3,000 penduduk
mula menduduki perumahan itu sejak
Oktober 2000 lalu, namun mereka mendakwa
pemaju dan PBT gagal menyempurnakan
tanggungjawab sosial mereka.
Pengerusi Persatuan
Penduduk BB7, Tun Roslan Mohd Ibrahim,
berkata, keengganan pemaju dan wakil
pejabat wakil rakyat untuk hadir ke
majlis itu menunjukkan mereka tidak ada
rasa tanggungjawab dan cuba memboikot
perjumpaan penduduk.
Katanya, penduduk
menghantar surat rasmi bertarikh 25
September lalu dan menerima jawapan
bertulis daripada pihak terbabit untuk
hadir dalam sesi dialog itu.
Namun, keengganan
mereka hadir dan menghubungi penduduk
sepanjang sesi dialog mengeruhkan lagi
keadaan dan menimbulkan kemarahan
penduduk.
"Kami akan membawa
perkara ini ke peringkat atas seperti
Exco Kerajaan Negeri Selangor dan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan demi menyelesaikan masalah ini
segera.
"Sudah lama kami
merancang dan mahu pihak terbabit
mendengar rungutan membabitkan pelbagai
perkara untuk faedah bersama.
"Penduduk bosan dengan
janji pemaju dan PBT yang tidak sanggup
mengambil tindakan mengatasi masalah
penduduk bulan demi bulan," katanya.
Setiausaha persatuan,
Zulhisham Harun Ar Rashid, berkata,
penduduk sanggup memberi kerjasama dan
komitmen penuh kepada pihak terbabit
dalam usaha menyelesaikan masalah yang
dialami.
Bagaimanapun, katanya,
pihak berkenaan perlu mempunyai nilai
kesedaran dan sanggup turun padang
meninjau masalah penduduk dari semasa ke
semasa.
"Tidak hanya pandai
berjanji dan gagal mengotakannya. Kami
kurang selesa dengan perkara sebegini.
"Sejak lebih dua tahun,
masalah perparitan, dinding rumah retak,
atap bocor dan sistem pendawaian
elektrik tidak lengkap gagal ditangani
pihak berkenaan.
"Kebanyakan penduduk
bekerja di ibu negara dan tidak
mempunyai banyak masa untuk berulang
alik menemui pihak berkenaan untuk
menyelesaikan masalah ini," katanya.
Seorang lagi penduduk,
Nordin Salleh, berkata, hanya masalah
membabitkan keselamatan awam penduduk
dapat ditangani cepat oleh pihak polis
dari Balai Polis Bukit Sentosa.
Katanya, masalah lumba
haram dan jenayah dapat dibendung
penduduk dengan kerjasama polis yang
kerap membuat rondaan di situ.
"Kerjasama penduduk
yang melaporkan kepada polis melalui
telefon dapat menyelesaikan masalah ini.
"Janji pihak terbabit
seperti MDHS untuk menyelesaikan masalah
lain dalam tempoh masa terdekat melalui
dialog amatlah diharapkan dengan penuh
kesabaran.
"Kami akan terus
memantau dan menghubungi pihak berkenaan
dalam usaha memastikan mereka
menjalankan tanggungjawab dengan penuh
dedikasi," katanya. |