Pembeli rayu kerajaan Johor segera siapkan rumah murah
16/04/2002
Berita Harian
SAYA mewakili pembeli rumah pangsa Taman Desa Rakyat Perdana, Jalan
Kong-Kong, Pasir Gudang, Johor, bersebelahan Politeknik Johor Bahru
dan berdepan Taman Kampung Kopok Baru merayu kerajaan Johor memberi
perhatian kepada masalah kami yang tidak selesai sejak Mei 1998.
Projek ini dimiliki Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd iaitu
syarikat Kerajaan Negeri Johor.
Taman perumahan ini sepatutnya siap pertengahan 2001, seperti yang
tertera pada papan tanda projek.
Semua pembeli sudah mendapat pengesahan nombor serta rumah yang
dibeli, dan kunci rumah sepatutnya diserahkan pada akhir 2001 lalu.
Namun sehingga kini, projek perumahan itu masih menjadi tanda tanya
kepada kami kerana segala urusan pinjaman bank sudah lama selesai
dan pembeli rumah sudah membayar duit pinjaman. Yang pasti, projek
itu terbiar begitu saja.
Projek perumahan yang berkali ganda daripada Taman Desa Rakyat
Perdana seperti Taman Kota Masai yang beberapa kilometer luasnya,
Taman Scientex, Taman Nusa Damai serta terkini Taman Cahaya Masai
yang dimajukan swasta berhampiran taman perumahan ini sudah lama
siap dan dihuni pembelinya.
Mengikut janji pada awal penjualan projek, kawasan itu dibangunkan
dengan barisan kedai di tepi jalan, jalan lebar serta tempat letak
kenderaan yang sempurna.
Ia juga dimasukkan dalam pelan pembangunan kawasan yang diberikan
kepada pembeli. Bagaimanapun, kami difahamkan kedai itu tidak jadi
dibangunkan kerana sudah ada kedai berhampiran projek taman itu.
Meskipun sudah ada rangka 10 blok bangunan lima tingkat di taman
itu, ia tidak dipedulikan oleh mereka yang lalu di situ. Kini
bangunan itu ibarat kubu tinggalan perang, dengan pelbagai longgokan
sisa binaan, malah anak kayu hutan tumbuh meliar dan bakal menjadi
belukar jika tiada tindakan diambil.
Daripada papan tanda projek itu, Taman Desa Rakyat Perdana dibina
untuk mereka yang berpendapatan rendah. Kami berharap kerajaan
negeri segera mengatasi masalah itu agar tidak tidak menyusahkan
pembeli yang terdiri daripada rakyat tempatan.
|
|
|