This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Lebih 26,000 rumah terbengkalai dipulih
21/04/2002  BM By Ziauddin Sharuddin

SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenal pasti 70 projek perumahan terbengkalai membabitkan 26,510 unit rumah di seluruh negara untuk dipulihkan segera oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Daripada keseluruhan projek bernilai RM3.2 bilion itu, 12 adalah di Selangor, Pahang (10), Wilayah Persekutuan (9), Johor (7), Kelantan (7), Negeri Sembilan (6), Perak (5), Kedah (4), Pulau Pinang (4), Melaka (3), Terengganu (2) dan Perlis (1).

"Kami sasarkan dapat memulihkan 20 projek sehingga hujung tahun ini dan setakat ini 14 projek sudah memperoleh Sijil Layak Menduduki (CF) dan bakinya akan diselesaikan pada akhir tahun depan," kata Penolong Pengurus Besar SPNB, Mohd Amin Mohd Salleh.

Katanya, berdasarkan statistik KPKT, jumlah projek perumahan terbengkalai adalah 514 projek, tetapi SPNB yang dipertanggungjawab mengurus dan memulihkan semua projek perumahan terbengkalai di seluruh negara setakat ini hanya mampu mengendalikan 70 projek.

"Sejak ditubuhkan Mei tahun lalu, SPNB berjaya menyiapkan 14 projek yang mendapat CF. Enam lagi projek dijangka siap akhir tahun ini. "Baki 50 projek dijangka siap secara berperingkat mulai tahun depan,"

katanya selepas majlis penerangan dan menandatangani surat akujanji bagi pemulihan projek Taman Sari Bayu di Dewan Theatrette Wisma Negeri di sini, semalam.

Taman Sari Bayu, Senawang dekat sini yang mempunyai 127 pembeli adalah antara projek perumahan terbengkalai yang akan dipulihkan oleh SPNB. Mohd Amin berkata, semua projek perumahan yang dipulihkan membabitkan rumah kos rendah dan sederhana yang dibeli golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, bilangan projek perumahan yang dipulihkan dijangka ditambah oleh kementerian berkenaan pertengahan tahun ini.

"KPKT mempunyai kuasa menyenaraikan projek perumahan yang hendak dipulihkan, manakala SPNB berfungsi sebagai agensi pelaksana," katanya.

Setakat ini, katanya kira-kira RM300 juta dari peruntukan RM1 bilion untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai disalurkan kepada SPNB dan jika tidak mencukupi, Kementerian Kewangan boleh menambah peruntukan itu.

Beliau berkata, projek perumahan yang dipulihkan adalah milik pemaju swasta yang kebanyakan diisytiharkan muflis disebabkan salah pengurusan atau kesan kegawatan ekonomi.

Bagi menjamin projek pemulihan tidak menghadapi masalah, hanya kontraktor berwibawa diberikan kontrak dan SPNB juga memantau setiap kemajuan projek.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.