SPN bela nasib pemilik rumah
Harian Metro 25/03/2002
SEMENYIH: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPN) memberi jaminan membela
nasib 106 pemilik rumah kos rendah Taman Dalma, di sini, sehingga mereka
dapat menduduki rumah masing-masing.
Penolong Pengurus Besarnya, Mohd Amin Mohd Salleh berkata, pemilik rumah
Taman Dalma tidak perlu mengeluarkan belanja kerana semuanya ditanggung SPN.
"Kita dilantik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai agensi
pelaksana pemulihan projek terbengkalai di seluruh negara. Kita adalah
syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.
"Oleh itu, kita harap pemlik rumah Taman Dalma memberi kepercayaan penuh
bagi menyambung projek pemulihan kediaman mereka yang dianggarkan hampir RM2
juta.
"Kita memberi jaminan semua kerja pemulihan akan dijalankan pada Mei dan
mungkin mereka boleh mendiami rumah masing-masing sebelum Aidilfitri,"
katanya.
Mohd Amin berkata demikian selepas sesi penerangan tugas SPN kepada lebih 60
daripada 106 pemilik rumah Taman Dalma, di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan
Negeri (DUN) Beranang, di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beranang, Ahamad Kuris Mohd
Nor dan pegawai SPN.
Mohd Amin berkata, SPN kini dalam rangka untuk memulihkan 70 daripada 500
projek perumahan terbengkalai seluruh negara.
"Apabila SPN bersetuju memulih semula projek terbengkalai, kita tidak untung,"
katanya.
Sementara itu, Ahamad Kuris menerusi ucapannya berkata, pejabat Dun Beranang
memulakan inisiatif mencari maklumat mengenai projek berkenaan.
"Saya sendiri ingin tahu pada asalnya. Oleh itu, kami cari siapa pembeli dan
pemajunya. Alhamdulillah, kini semua hasrat Dun Beranang membela nasib
pembeli Taman Dalma, termakbul," katanya.
|