840 pembeli diminta beri
peluang pemaju siapkan rumah
Berita Harian 20/03/2002
SUBANG, Selasa - Kira-kira 840 pembeli rumah di Seksyen 2, Bandar Pinggiran
Subang, Sungai Buloh, Shah Alam di sini diminta memberi peluang kedua kepada
pemaju, Unique Creation Sdn Bhd (Unique Creation) menyiapkan projek yang
terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Sains dan Teknologi dan
Pembangunan Organisasi negeri, Datuk Ir Lum Weng Keong, berkata pihaknya
yakin pemaju terbabit ingin menunaikan tanggungjawab menyiapkan projek.
Namun, katanya, masalah kewangan yang dihadapi kegawatan ekonomi pada 1997
mengganggu kelancaran projek.
"Projek ini hanya tertangguh sejak dua tahun lalu. Kita berharap pembeli
dapat bersabar dan cuba menerima cadangan pemaju dengan harapan projek dapat
disiapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog pemaju dan
pembeli, di sini hari ini.
Turut hadir, wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, R
Girubaharan; Pengarah Unique Creation, Lim Yeow Cheng dan Pengerusi Persatuan
Penduduk Taman Subang Perdana, Kapt (B) V H Poon.
Projek perumahan campuran di kawasan seluas 40 hektar itu membabitkan
bangunan perniagaan empat tingkat, 250 unit rumah dua tingkat jenis delima,
480 unit rumah pangsa kos rendah, 600 unit rumah pangsa kos sederhana dan
112 unit rumah dua tingkat.
Ia dimulakan pada 1997 dan dijadualkan siap pada 2001 tetapi tertangguh
sejak dua tahun lalu kerana pemaju menghadapi masalah kekurangan sumber
pembiayaan akibat kegawatan ekonomi.
Sehubungan itu, pemaju, Unique Creation bercadang memohon pinjaman bank bagi
meneruskan projek.
Lum berkata, pada peringkat awal, pihaknya berharap pemaju dapat menyiapkan
perumahan jenis delima dan orkid yang sudah siap 70 peratus terlebih dulu
sebelum akhir tahun ini.
Untuk tujuan itu, Unique Creation berhasrat melantik kontraktor baru bagi
menyiapkan kira-kira 30 peratus projek terbengkalai, terutama pembinaan
infrastruktur di perumahan jenis delima dan orkid.
Di samping itu, beliau sudah mengarahkan pemaju mengemukakan laporan kepada
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pembeli bagi memaklumkan
perkembangan projek.
|