Projek jadi belukar
14/02/2002
Harian Metro
KAJANG: Lebih 100 unit rumah kos sederhana di Taman Kantan Permai, di sini,
yang tidak disiapkan pemaju kira-kira 10 tahun lalu kini ditumbuhi
semak-samun dan belukar, menjadi sarang binatang berbisa seperti ular.
Tinjauan Harian Metro, di kawasan itu semalam, mendapati projek rumah
tingkat itu dalam peringkat akhir untuk disiapkan. Angkara pemaju bermasalah,
projek itu terbengkalai, hingga keadaannya berubah wajah kepada belukar.
Lokasinya berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Kantan Permai, justeru jika
keadaannya dibiarkan berterusan, pasti ia boleh menjejaskan imej sekolah
yang tersergam indah itu, selain menakutkan murid yang berulang-alik setiap
hari.
Kakitangan kerajaan, Hasan Mohamad, 47, berkata projek perumahan yang
terbengkalai itu adalah peringkat kedua, yang dijangka siap selewat-lewatnya
pada tahun 1996 lalu, tetapi hingga kini belum mendapat perhatian pemaju.
"Saya sekarang tinggal di rumah fasa pertama yang siap pada tahun 1989.
Jika diikutkan janji pemaju sebelum ini rumah di fasa kedua itu siap
kira-kira lima tahun lalu, tetapi hingga kini tiada sebarang perkembangan
positif mengenainya," katanya.
Menurutnya, pengabaian pemaju terhadap projek perumahan terbabit menimbulkan
keluhan dan rasa tidak puas hati di kalangan pembeli, kerana mereka terpaksa
juga membayar kepada pihak bank kira-kira RM400 setiap bulan.
"Orang yang membeli rumah itu pun mengeluh kerana gaji mereka dipotong,
tetapi rumah yang dibayar itu tidak boleh diduduki, kerana belum siap
sepenuhnya. Mereka sudah bersemuka dengan pihak pemaju tetapi hingga kini
tiada penyelesaiannya," katanya.
Kakitangan swasta, Jamil Mohamad, 38, berkata hingga sekarang perkembangan
mengenai projek itu tidak dapat diketahui, tambahan pula apabila pejabat
pemaju sedia ada di taman berkenaan kini sudah ditutup, menyukarkan lagi
pembeli untuk membuat aduan dan pertanyaan.
"Difahamkan pemaju projek terbabit silih berganti, tetapi tidak juga
menampakkan perubahan. Hingga kini masalah berkenaan tidak dapat
diselesaikan, sedangkan rumah yang dibina itu makin kelihatan lusuh,"
katanya.
Katanya, kawasan itu berpotensi besar untuk dimajukan sebagai penempatan
penduduk, memandangkan ia berdekatan dengan pusat bandar, memudahkan
sebarang urusan penduduk, justeru sebenarnya tiada alasan bagi pemaju
mengabaikan projek berkenaan.
"Di sini terdapat kira-kira 400 buah rumah yang sudah siap. Daripada jumlah
itu 10 peratus masih kosong. Ramai orang yang tidak mengetahui kawasan ini
mempunyai banyak rumah. Di sini kemudahan awam seperti bas juga ada.
"Jika projek perumahan itu dapat disiapkan segera ia dapat mengindahkan lagi
suasana di taman ini, sekaligus menarik lebih ramai orang untuk menetap di
sini," katanya.
|