Banglo runtuh, lapan terbunuh
BERITA HARIAN 21/11/2002
KUALA LUMPUR, Rabu: Lapan orang termasuk enam ahli keluarga bekas Panglima
Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, terkorban dalam runtuhan
banglo mereka di Taman Hillview, Hulu Klang di sini, awal pagi ini.
Ismail, 61, dan seorang anak serta tiga cucunya terselamat, tetapi
isterinya, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, 56, dan anak sulungnya serta dua
menantu dan dua cucu terkorban.
Dua pembantu keluarga Ismail turut terbunuh selepas lereng bukit setinggi
100 meter di belakang rumah berkenaan runtuh hingga meranapkan banglo itu,
dipercayai berikutan hujan lebat malam tadi.
Kejadian berlaku jam 4.30 pagi ketika Ismail, yang juga Pengerusi Affin
Bank, bersama beberapa ahli keluarganya dan dua pembantu rumah dikatakan
sedang bersiap untuk bersahur, manakala cucunya tidur dalam beberapa bilik
di tingkat atas.
Tragedi itu berlaku kira-kira sembilan tahun selepas kejadian runtuhan
pangsapuri Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa. Pangsapuri itu
terletak kira-kira 250 meter daripada banglo Ismail.
Azizah adalah mangsa terakhir ditemui kira-kira jam 10.35 malam ini, iaitu
lebih 12 jam selepas suaminya berjaya diselamatkan. Mayatnya ditemui masih
bertelekung.
Mangsa pertama yang ditemui kira-kira jam 6.40 pagi ialah menantu Ismail,
Shamsul Azhar Shafie, 36, – seorang arkitek yang juga suami Intan Jasmin,
34, anak ketiga Ismail.
Anak sulung Ismail, Ahmad Hijaz, 38, dan isterinya, Zaradina Zaini, 29,
serta anak pasangan itu, Johan Alif, 18 bulan dan Zurin Aishah, 5, turut
terkorban.
Mayat Zaradina dan dua anaknya ditemui berpelukan kira-kira jam 7.50 malam
ini. Ahmad Hijaz pula ditemui setengah jam sebelum itu, kira-kira jam 7.20
malam.
Separuh anggota badan juga ditemui pada jam 4.30 petang dipercayai mayat
Sutina, pembantu rumah keluarga Ismail. Seorang lagi pembantu rumah yang
dikenali sebagai Dini, ditemui pada jam 4.45 petang. Sutina dan Dini
adalah warga Indonesia.
Semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Ismail pula dimasukkan ke wad kenamaan HKL manakala Intan Jasmin, juga
seorang arkitek, serta tiga anaknya, Ilya Syamira, 8, Shamir Izat, 7, dan
Mohd Syazwan, yang terselamat dalam tragedi itu dihantar ke Hospital
Ampang Puteri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Noor Hamat, berkata operasi itu disertai
kira-kira 674 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan Kuala
Lumpur, polis, Jabatan Pertahanan Awam 3, Angkatan Tentera Malaysia,
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Persatuan Bulan
Sabit Merah Malaysia serta St John.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang yang pertama
dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.44
pagi.
Hujan renyai selama setengah jam sejak kira-kira jam 6.30 petang ini,
tidak menghalang pasukan penyelamat menjalankan operasi yang hanya
dihentikan seketika untuk berbuka puasa.
Enam kereta milik keluarga Ismail termasuk Mercedes dan Volvo juga musnah.
Berikutan kejadian itu, penghuni di tujuh banglo berhampiran turut diarah
berpindah serta merta.
Mohd Noor berkata, beberapa jurutera Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan
Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga sedang melakukan kajian di
sekitar kawasan tragedi.
“Kita harap mendapat pandangan mereka secepat mungkin mengenai kedudukan
kawasan itu sama ada selamat diduduki atau sebaliknya,” katanya.
Banglo yang dibina hasil reka bentuk firma arkitek Intan Jasmin dan
Shamsul, kira-kira tiga tahun lalu, ranap selepas dirempuh runtuhan tanah
dari arah tepi kediaman itu.
Kediaman itu terletak kira-kira 250 meter daripada pangsapuri Highland
Towers. Malah, dua lagi bangunan Highland Towers yang dikosongkan selepas
tragedi pada Disember 1993, boleh dilihat dari kediaman Ismail.
Sepuluh keluarga yang mendiami banglo di Taman Hillview itu juga pernah
diarah berpindah selepas ancaman tanah runtuh di Kondominium Athenaeum
dekat Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada 15 Mei 1999.
Dalam kejadian itu, jalan masuk ke Bukit Antarabangsa ditutup selepas
tanah di lereng bukit di situ runtuh.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada sidang
akhbar di tempat kejadian, berkata banglo Ismail dipercayai ranap akibat
runtuhan tanah di lereng bukit belakang kediaman itu berikutan hujan lebat
sejak kebelakangan ini.
“Saya bersyukur Tan Sri terselamat dan mengucapkan penghargaan kepada
pasukan penyelamat yang bertindak pantas dan cekap,” katanya yang meninjau
operasi itu. |
|
|