Bimbang flet runtuh
Berita Harian 07/10/2002
CHERAS: Keselamatan kira-kira 400 penghuni rumah Flet Pendekar 9,
Taman Tun Perak, berada dalam bahaya berikutan kejadian rekahan
tanah pada jalan raya bersebelahan, semalam.
Kejadian bermula jam 1 tengah hari itu hanya disedari penduduk
apabila mereka melihat jaluran rekahan pada permukaan jalan
sepanjang 30 meter bermula dari tebing bukit hingga ke longkang flet
berkenaan.
Rekahan itu membesar dan mendap sedikit demi sedikit hingga
menyebabkan penduduk bimbang flet berkenaan runtuh secara tiba-tiba.
Pengerusi Penduduk Taman Tun Perak, Mohd Hashim Mohd Isa, 45,
berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerja menggali
parit di Taman Lagenda Emas di cerun tebing kawasan flet berkenaan.
"Kerja mengorek itu menyebabkan aliran air terlalu deras di lereng
bukit berkenaan ketika hujan.
"Dalam tempoh tidak sampai sembilan jam, penduduk mendapati jalan
raya di kawasan berkenaan mula merekah sedalam empat meter.
"Tanah di kawasan itu boleh runtuh dengan lebih cepat jika hujan
pagi ini," katanya di tempat kejadian.
Hashim yang sudah mendiami kawasan itu sejak setahun lalu, berkata
pihaknya sudah membuat aduan kepada wakil pemaju perumahan petang
semalam.
Setiausaha Persatuan Penduduk Perumahan Polis Taman Desa Baiduri,
Abdul Majid Kasim, 40, berkata, pihaknya bimbang jika berlaku tanah
runtuh boleh membahayakan struktur binaan flet itu yang menempatkan
80 rumah.
"Saya pasti flet ini boleh condong dan runtuh jika mendapan tanah
gagal dihentikan.
"Kita mahu pihak berkuasa bersikap serius terhadap perkara ini dan
tidak hanya bertindak apabila ada nyawa yang terkorban," katanya.
Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon yang melawat ke tempat
kejadian turut melahirkan rasa bimbang dengan kejadian itu.
Beliau menasihati penduduk agar menghubungi pihak berkuasa tempatan
(PBT) polis dan bomba sebagai langkah persediaan menghadapi bencana.
"Saya harap penduduk dipindahkan segera sebelum tragedi Pangsapuri
Highland Towers berulang," katanya. |
|
|