Kerajaan sedia bantu jika
pemaju mahu kerjasama
21/09/2001
Berita Harian
PORT DICKSON, Khamis - Sikap pemaju perumahan yang melarikan diri apabila
projek menghadapi masalah hingga terbengkalai, adalah antara punca utama
projek bermasalah itu sukar diatasi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Yeow Chai
Thiam, berkata penyelesaian masalah projek terbengkalai memerlukan kerjasama
pemaju terbabit.
Katanya, kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa jika pemaju perumahan
melarikan diri.
"Jika pemaju terbabit sedia bekerjasama, kerajaan negeri akan mencari jalan
membantu mereka meneruskan projek hingga siap," katanya di sini.
Beliau berkata, antara bantuan yang boleh diberi termasuk mendapatkan pemaju
lain untuk mengambil alih projek.
Selain itu, katanya, kerajaan sedia mengecualikan pemaju projek terbengkalai
membayar denda lewat cukai tanah jika berusaha memajukan semula projek
hingga siap.
Bagaimanapun, katanya berdasarkan pengalaman pemaju perumahan bermasalah
terus melarikan diri.
"Dalam satu kes, saya cuba menghubungi satu pemaju perumahan di negeri lain
yang mempunyai projek terbengkalai di negeri ini, tetapi semua panggilan
tidak dilayan," katanya.
Sementara itu, katanya, pembeli rumah yang mempunyai masalah dengan pemaju
boleh membuat aduan kepada kerajaan negeri.
Katanya, ada satu jawatankuasa khas di Wisma Negeri yang menerima aduan
pembeli rumah dan setakat ini, jawatankuasa itu menyelesaikan beberapa
masalah pengadu.
Pembeli rumah sebelum ini mendakwa sukar membuat aduan untuk menyelesaikan
masalah mereka seperti pembinaan rumah tidak berkualiti dan rumah lambat
diserahkan.
Dr Yeow memberi jaminan jawatankuasa itu akan berusaha membantu
menyelesaikan masalah pengadu.
|