Pemaju jangan
selalu minta insentif
Utusan Online
28/07/2001
KUALA LUMPUR 27 Julai - Syarikat pemaju perumahan
diingatkan supaya jangan asyik meminta pelbagai insentif daripada
kerajaan sedangkan mereka sendiri tidak bersedia untuk memberikan
yang terbaik, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chan Kong Choy.
Menurut Chan, masih terdapat pemaju yang tidak memenuhi kualiti,
reka bentuk dan tempoh pembinaan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi
memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat sedangkan
pelbagai insentif telah diberikan oleh kerajaan untuk menarik lebih
ramai pembeli rumah terutama sekali ketika kempen pemilikan rumah.
Pemaju juga sepatutnya memikirkan insentif yang boleh diberikan
kepada pembeli seperti harga yang lebih rendah ataupun potongan
harga sebagai tanda menyokong hasrat kerajaan.
``Pemaju jangan asyik memikirkan untung dalam keadaan sekarang
sebaliknya mereka juga perlu memikirkan keperluan dan kehendak
pembeli,'' katanya.
Chan berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas majlis
perasmian pameran Property And Investment Deal 2001 (P.A.I.D 2001)
di sini, hari ini.
Tambahnya, jumlah jualan dan kempen pemilikan rumah pasti akan
berjaya sekiranya, para pemaju dapat memberikan insentif yang lebih
menarik kepada pembeli.
Bagaimanapun, katanya, jumlah pinjaman hartanah yang dicatatkan
dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan
berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Ujarnya, sektor pembinaan menunjukkan pertumbuhan sebanyak 8.5
peratus, kediaman 18.4 peratus, bangunan komersial 6.4 peratus dan
hartanah lain 3.5 peratus.
Chan menjelaskan peningkatan tersebut mungkin disebabkan oleh
keyakinan pembeli terhadap pelbagai insentif yang disediakan oleh
pihak kerajaan serta pakej pinjaman menarik oleh institusi kewangan
dan bank.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembeli Perumahan Kuala Lumpur
dan Selangor (HBA) berkata, pembeli sekarang semakin bijak membuat
pilihan dan menuntut hak-hak mereka.
Beliau yang mewakili HBA meminta pemaju supaya memastikan rumah yang
mereka bina berkualiti dan berpatutan harganya. P.A.I.D 2001
berlangsung dari hari ini sehingga Ahad.
Sebanyak 27 pemaju mengambil bahagian dalam pameran yang menawarkan
pelbagai pakej menarik. |