Pemuda saran percepat pulih
rumah terbengkalai
09/03/2001
Berita Harian
Pembeli rumah yang terbabit dengan projek perumahan terbengkalai ketika ini
sudah pasti menanggung beban hutang kerana terpaksa membayar balik pinjaman
perumahan yang dibuat dengan institusi kewangan bagi tujuan itu.
Jika masalah ini dibiarkan berlarutan, hasrat kerajaan untuk melihat semua
rakyat negara ini memiliki rumah sendiri sudah tentu sukar dicapai.
Kerajaan melalui pelbagai agensinya sudah mengumumkan beberapa langkah untuk
membantu pembeli yang mengalami masalah perumahan terbengkalai. Sehubungan
itu, Pergerakan Pemuda UMNO menyarankan kerajaan supaya mempercepatkan
proses pemulihan rumah terbengkalai di seluruh negara demi menjaga
kepentingan orang ramai yang sudah mengeluarkan wang untuk membeli rumah.
Pemuda UMNO melihat iltizam yang ditunjukkan kerajaan dalam isu ini sehingga
membawa kepada penubuhan Syarikat Perumahan Negara (SPN) membuktikan
kesungguhannya menangani masalah yang dialami rakyat.
Pengerusi Hal Ehwal Pengguna Pemuda UMNO Malaysia, Affendi Zahari, berkata
pihaknya mengalu-alukan langkah menubuhkan SPN dan berharap ia akan membantu
kerajaan menyediakan kemudahan perumahan yang selesa untuk rakyat.
Katanya, sebelum ini kerajaan menubuhkan Tabung Projek Perumahan
Terbengkalai (TPPT) untuk mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai di
seluruh negara.
Menurutnya, komitmen kerajaan terhadap perkara ini jelas semata-mata
membantu pembeli rumah yang sudah mengeluarkan sejumlah wang tetapi
dikecewakan oleh projek separuh jalan.
“Saya pasti, mereka yang terbabit sedang menanggung beban hutang kerana
membuat pinjaman kewangan daripada syarikat atau institusi kewangan bagi
tujuan itu (membeli rumah).
“Oleh itu, Pemuda UMNO melihat kerajaan sedang melaksanakan satu langkah
yang tepat dan wajar untuk membantu golongan ini,” katanya.
Affendi berkata, penubuhan SPN juga membolehkan lebih ramai rakyat negara
ini memiliki kediaman sendiri.
“Sekiranya projek ini dapat dilaksanakan sepenuhnya, impian kerajaan untuk
melihat semua rakyat negara ini memiliki rumah sendiri akan dapat dicapai,”
katanya.
Selain itu, pihaknya menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas
terhadap pemaju yang gagal menyempurnakan projek mereka pada masa yang sudah
dipersetujui dengan pembeli.
Katanya, Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan menyenaraihitamkan pemaju yang
gagal melaksanakan projek dalam tempoh yang ditetapkan itu.
“Seterusnya, pemaju yang mempunyai rekod buruk ini mesti disekat daripada
terus melaksanakan projek perumahan pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, walau apa pun alasannya, mereka harus diberi ‘hukuman’ kerana
mengabaikan tanggungjawab menyempurnakan projek perumahan yang diamanahkan
pada masa yang dipersetujui.
Bagaimanapun, beliau berpendapat kegawatan ekonomi yang melanda negara tiga
tahun dulu turut menyumbang kepada masalah ini.
Katanya, kebanyakan daripada pemaju ini tidak mempunyai kedudukan kewangan
yang kukuh dan ‘meninggalkan’ projek perumahan apabila menghadapi masalah
kewangan kesan daripada kegawatan ekonomi ketika itu.
Affedi yang juga seorang peguam berkata, projek perumahan terbengkalai boleh
dibahagikan kepada dua kategori.
Pertama, ialah projek terbengkalai yang sudah dimulakan operasinya ttapi
ditinggalkan begitu saja oleh pemajunya.
“Ia mungkin disebabkan masalah kewangan atau pentadbiran syarikat pemaju.
Kekurangan tenaga buruh, misalnya boleh menyebabkan projek yang dijalankan
terbengkalai,” katanya.
“Misalnya, apabila pemaju memulakan projek untuk membina apartment, ia
menerima arahan pembangunan yang mengandungi pelbagai syarat yang harus
dipenuhi.
“Bagaimanapun, apabila projek berkenaan sudah siap sepenuhnya, pemaju
diminta membina beberapa perkara seperti longkang yang membabitkan kos. Kos
tambahan ini terpaksa ditanggung pemaju walaupun ia tiada dalam peraturan
atau syarat pembangunan.
Katanya, apabila pemaju enggan mematuhi arahan baru yang dikeluarkan, pihak
berkuasa tempatan (PBT) akan menahan atau menagguh pemberian Sijil Layak
Menduduki (CF) menyebabkan pertikaian antara pemaju dan PBT berlarutan.
Pertikaian ini, katanya, kadang kala memaksa pihak terbabit membawa kes itu
ke mahkamah.
Oleh itu, Affendi berkata, kerajaan boleh membantu pembeli yang terbabit
dengan projek terbengkalai tetapi terpaksa membayar pinjaman bank dengan
memberi pinjaman kewangan dengan kadar yang rendah.
Katanya, kerajaan mesti mencari mekanisme supaya kepentingan pembeli rumah
terpelihara terutamanya apabila mereka sudah membayar sebahagian daripada
harga rumah itu.
“Umpamanya, jika seorang pembeli sudah membayar RM20,000 untuk sebuah rumah
berharga RM50,000, kerajaan boleh mengambil inisiatif meneruskan
pembangunannya yang terbengkalai.
“Selain itu, kerajaan boleh membantu pemaju perumahan baru yang ingin
meneruskan projek berkenaan dengan memberikan pinjaman kewangan dengan kadar
faedah yang rendah,” katanya.
Menurut Affendi, Pemuda UMNO mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan
lebih banyak rumah yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah dan
setinggan.
Katanya, masalah setinggan yang melanda, terutama di ibu kota disebabkan
harga rumah yang tinggi dan tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan
rendah.
“Pemuda UMNO menumpukan perhatian terhadap masalah kekurangan rumah murah
yang dihadapi pelbagai golongan, termasuk penghuni rumah setinggan.
“Kita sedar kebanyakan daripada mereka berhijrah dari luar bandar dan
berniat untuk menetap di Kuala Lumpur tetapi tidak mampu memiliki atau
membayar sewa rumah yang agak tinggi. Akibatnya, mereka membina penempatan
setinggan di tebing sungai dan di tanah milik orang lain,” katanya.
Bagaimanpun, katanya, kerajaan harus berhati-hati terhadap segelintir
‘setinggan profesional’ yang sengaja membina rumah di kawasan setinggan
untuk mendapat manfaat apabila kerajaan memberi bantuan.
Katanya, golongan ini akan berhijrah dari satu kawasan setinggan ke kawasan
setinggan lain apabila nama mereka sudah tersenarai untuk membli rumah murah
bantuan kerajaan.
Menurutnya, jika lebih banyak projek perumahan kos rendah yang terbengkalai
dapat dipulihkan, golongan setinggan juga akan mampu membeli dan secara
langsung mengurangkan penempatan setinggan dalam negara.
“Kita harus bersyukur kerana walaupun projek perumahan terbengkalai yang
berlaku bukan disebabkan kesilapan kerajaan, tetapi kerajaan sangat prihatin
terhadap pembeli yang menjadi mangsa.
“Pelbagai usaha sudah dan akan dilakukan kerajaan supaya semua pembeli akan
dapat memiliki rumah mereka sendiri,” katanya.
|