This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bela nasib pembeli rumah
Harian Metro 11/02/2001

Kisah rumah yang dibeli tidak siap-siap dan pembelinya terpaksa menanggung hutang bank sudah kerap tidak dengar. Apabila kaki sudah lengoh naik turun pejabat pemaju bertanya bila rumah akan siap, ramai pembeli mengalih pandangan mereka kepada media untuk menagih simpati pihak tertentu memperjuangkan nasib mereka.

Kadang kala rintihan mereka itu menyayatkan hati. Apa tidaknya apabila terpaksa terus tinggal menyewa dan dibeban pula dengan bayaran bulanan kepada bank ke atas rumah separuh siap yang kini tenggelam dalam semak samun.

Saban tahun anak bertambah ramai dan kos menyara keluarga bertambah besar menyebabkan bayaran bulanan pinjaman rumah yang tidak siap itu menimbul masalah besar kepada sesebuah keluarga.

Rumah adalah perkara asas dalam kehidupan. Sebab itu mereka yang berkeluarga sanggup menempuh apa saja keperitan untuk membeli rumah agar mereka mempunyai tempat berteduh yang tetap demi kesejahteraan.

Justeru apabila laporan kerajaan mengenalpasti 493 projek perumahan bernilai RM15 bilion terbengkalai di seluruh negara, kita mula sedar ia sebenarnya masalah serius dan membabitkan ramai orang.

Ini kerana sudah menjadi lumrah kebanyakan rumah yang dibina memang sudah ada pembelinya. Justeru itu kita boleh bayangkan betapa ramai pembeli yang berdepan nasib malang kerana rumah mereka tidak siap untuk tempoh lama.

Walaupun masih ramai pemaju yang mampu menyiapkan rumah dalm tempoh yang dijanjikan dan menjual hartanah mereka melalui kempen besar-besaran baru-baru ini, ia tidak menyelesaikan masalah mereka yang sudah terjebak dengan masalah rumah terbengkalai.

Ramai yang tidak punya wang lagi untuk membeli rumah baru. Bagi mereka tidak ada pemyelesaian kecuali berdoa agar rumah mereka siap juga akhirnya.

Menurut Pengerusi Syarikat Perumahan Negara (SPN), Datuk Zahid Ahmad Zamidi, kajian mendapati 80 peratus masalah rumah terbengkalai berpunca daripada masalah kewangan pemaju sendiri. Ini membabitkan tanah yang tidak dapat ditebus serta masalah dengan bank akibat kadar aliran tunai yang tidak mantap.

Tegasnya, ini membuatkan pembeli rumah terpaksa membayar pinjaman bank dan dalam masa sama menyewa rumah hingga dalam setengah-tengah kes ia berlanjutan hingga 20 tahun.

Apa yang menyedihkan ada pembeli mengadu mereka tidak lagi dapat mengesan pemaju kawasan perumahan mereka kerana projek itu terbengkalai sejak sekian lama.

Dalam hal ini kita mengalu-alukan langkah kerajaan campur tangan untuk membela nasib pembeli rumah yang sekian lama merintih dalam diam ini.

Mengikut perancangan, kerajaan sudah memilih 47 projek rumah yang terbengkalai bernialai RM103 bilion untuk dipulihkan dalam fasa pertama pelan menyiapkan rumah berkenaan.

Sebanyak 10 daripada 47 yang alkan dipulihkan itu membabitkan Selangor, Pahang (8), Perak, negeri Sembilan, Johor, Kelantan (4), Kedah, Pulau Pinang, Melaka (3), Kuala Lumpur (2), Perlis dan Terengganu (1).

Pastinya kita berharap lebih banyak lagi perumahan yang terbengkalai akan dipulihkan dalam masa terdekat ini hinggalah semua 493 kes rumah terbengkalai di seluruh negara dapat diselesaikan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.