Pemaju diberi amaran
Harian Metro 14/12/2001
HULU KLANG: Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan
tegas dengan menyenaraihitamkan syarikat pemaju Pangsapuri Riverdale,
Bukit Antarabangsa, di sini.Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Setinggan, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam
Sekitar, Datuk Mokhtar Ahmad Dahalan, berkata tindakan tegas itu akan
dikenakan berikutan pemaju terbabit gagal menunaikan janji membaiki
hakisan tanah di Blok B dan C pangsapuri itu.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mengarahkan Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tidak mengeluarkan Sijil Layak
Menduduki (CF) atau sebarang kelulusan bagi projek pembangunan yang
dijalankan syarikat pemaju terbabit.
"Saya akan membuat laporan kepada kerajaan negeri
mengenai hal ini kerana pemaju itu tidak bertanggungjawab dan cuba untuk
mempermainkan penduduk," katanya ketika melawat pangsapuri berkenaan, di
sini, semalam.
Hadir sama ialah Yang Dipertua MPAJ, Ahmad Kabit. April
lalu, berlaku hakisan tanah berhampiran rumah penduduk di pangsapuri itu
dan hakisan itu berlaku terlalu dekat dengan dapur mereka.
Pemaju terbabit berjanji untuk membaiki kerosakan di
situ bagi menghalang hakisan berulang, dalam tempoh tiga minggu lalu.
Bagaimanapun, Mokhtar berkata, pemaju terbabit gagal
berbuat demikian dan hanya melantik kontraktor beberapa hari lalu.
"Kontraktor terbabit melalui pejabat peguam mereka sudah
menghantar surat kepada MPAJ untuk memulakan kerja membaiki selepas
Aidilfitri, hanya apabila bayaran diberikan oleh pemaju," katanya.
Pemaju terbabit, katanya, juga sukar dihubungi dan
alamat syarikat yang didaftarkan tidak dijadikan tempat sebenar mereka
beroperasi.
Mokhtar berkata, MPAJ sudah menjalankan peranan mereka
dengan membaiki
beberapa kerosakan seperti saliran dan longkang. |